KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan penubuhan syarikat SG4 Group Sdn. Bhd. yang dimiliki empat negeri pembangkang adalah bersifat politik.
Menurut Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu, hakikat tersebut lebih ketara apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertindak sebagai penasihat kepada syarikat terbabit.
Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan apa akan terjadi kepada syarikat tersebut sekiranya pentadbiran empat negeri terbabit iaitu Kelantan; Terengganu; Kedah dan Perlis bertukar tangan pada pilihan raya umum akan datang.
Apatah lagi, ujarnya, bukan mustahil untuk Barisan Nasional (BN) merampas semula negeri berkenaan khususnya Terengganu; Kedah dan Perlis.
“Akan timbul banyak masalah baik dari segi pekerja, aset, saham dan lembaga pengarah. Tidak pernah empat negeri berkongsi buat satu syarikat.
“Sanusi (Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor) pula tidak suka kongsi kongsi. Takut Sanusi kata, “Kedah rugi sejak Tuhan buat dunia ini lagi”,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, Sidang Kemuncak Empat Kerajaan Negeri (SG4) mengumumkan secara rasmi penubuhan SG4 Group iaitu entiti korporat yang dimiliki secara bersama oleh empat negeri pembangkang.
Pengerusi Majlis Menteri Besar SG4, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, syarikat itu bertanggungjawab menyelaras dan membawa masuk pelaburan-pelaburan baharu rentas negeri SG4 dan akan berkongsi serta mengagihkan hasil kekayaan secara sama rata.
Setakat ini, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, SG4 Group sudah menarik pelaburan asing dari Korea dan Jepun selain dalam perbincangan untuk membawa masuk pelaburan dari China. – MalaysiaGazette