Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali bersama para wakil pertubuhan lain dalam sidang media di Adamson Hotel, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa kerajaan mengenakan tindakan kepada sembilan institusi pendidikan Cina yang menolak inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyelaras silibus bahasa Melayu di sekolah rendah vernakular.

Presidennya, Syed Hassan Syed Ali berkata, ramai yang terkejut dengan perbezaan silibus antara Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesahihan SJK yang menolak penyelarasan silibus itu.

“Standard ini tidak adil kerana pelaksanaan peperiksaan rasmi di SJK adalah lebih rendah arasnya berbanding silibus di sekolah biasa.

“Apakah selama ini berlaku kecurangan dalam melaksanakan silibus mata pelajaran bahasa Melayu dalam pendidikan negara kita?,” ujarnya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Presiden Jiao Zhong, Cheah Lek Aee mendakwa penolakan untuk menyelaras silibus Bahasa Melayu di sekolah rendah vernakular adalah kerana bahasa ibunda pelajar sekolah Cina adalah bukan bahasa Melayu.

Oleh sebab itu, mereka tidak boleh menggunakan silibus sama seperti pelajar sekolah kebangsaan yang lain.

Isu penyelarasan silibus bahasa Melayu pernah dibangkitkan beberapa kali dan kali terakhir pada 2015.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia, Izzat Johari yang hadir pada sidang media tersebut berkata, ramai pelajar vernakular di peringkat sekolah menengah tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik.

“Adakah pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) ini merupakan satu jalan kepada para pelajar SJK yang tidak fasih bahasa Melayu untuk terus maju ke sekolah menengah?,” dakwanya.

Beliau juga meminta ibu bapa pelajar SJK supaya menyedari  bahasa Melayu penting, lebih-lebih lagi apabila pelajar melangkah ke alam pekerjaan.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina menegaskan, kebolehan bertutur bahasa Melayu bukan hanya mengenai isu perpaduan tetapi ia merupakan maruah bangsa Melayu.

“Kami tidak mahu bahasa Melayu hilang di bumi seperti bahasa Urdu.

“Ini merupakan asas untuk setiap bangsa Malaysia dan tidak sepatutnya menjadi sesuatu yang diniagakan oleh mana-mana parti politik,” tambahnya. – MalaysiaGazette