Muhammad Sanusi Md Nor

PUTRAJAYA – Tuduhan dilemparkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kononnya ada menteri dan timbalan menteri  masih bermain politik terutama di negeri pembangkang adalah tidak benar.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat termasuk di negeri ditadbir pembangkang.

Malah Perdana Menteri bukan hanya banyak meluangkan masa untuk melawat sebaliknya mengenal pasti masalah yang harus diatasi segera.

“Perdana Menteri mahu mempercepatkan proses pelaksanaan projek seperti ketika beliau ke Rantau Panjang dan Pasir Mas baru-baru ini untuk melihat masalah bersebelahan dengan Sungai Golok,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Semalam, Muhammad Sanusi dipetik berkata, kementerian dipimpin menteri dan timbalan menteri masih tebal dengan sentimen politiknya.

Beliau mendakwa, isu berkenaan  menyukarkan kerjasama yang hendak dibuat dan kebanyakan kerjasama yang dijalinkan dengan kerajaan negeri pembangkang hanya untuk bermain politik.

Beliau dilaporkan berkata, walaupun pembangkang sudah membuka ruang seluasnya untuk bekerjasama, kerajaan tetap ingin bermain politik.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi mendakwa, Muhammad Sanusi adalah individu sebenarnya yang bermain politik.

Jelasnya, Perdana Menteri sendiri sudah menyatakan  tidak perlu ada sentimen politik dalam menguruskan pembangunan termasuk di negeri yang ditadbir pembangkang.

“Saya lihat yang bermain politik banyak ini Menteri Besar Kedah, main politik sampai nak tangkap hati orang. Kita sebagai anggota pentadbiran perlu mengutamakan kemaslahatan umum dan juga memastikan bahawa rakyat di bawah jagaan kita mendapat manfaat semaksimum mungkin,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast