Logo Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 28 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut kod etika kakitangan ke atas seorang pensyarah dari Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan AbdulHamid AbuSulayman  yang mengeluarkan kenyataan menimbulkan kekeliruan umum di media sosial.

Ddalam masa sama, UIAM juga telah memberi peringatan kepada pensyarah tersebut untuk lebih berhati-hati dalam perkongsian beliau kepada umum.

“UIAM juga secara amnya sentiasa menegaskan pandangan ahli-ahli akademik dalam universiti ini perlu diselaraskan dengan standard yang telah ditetapkan Jawatankuasa Integriti Akademik universiti ini.

“Namun, universiti tidak pernah menghalang kebebasan akademik dan sentiasa menyokong program-program percambahan ilmu,” kata Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi UIAM dalam satu kenyataan hari ini.

Tular dakwaan isteri Nabi Muhammad, Siti Khadijah dari alam Melayu

Kenyataan itu dikeluarkan susulan isu melibatkan ceramah bertajuk Peranan Wanita Islam di Bumi Melayu oleh Prof. Dr Solehah Yaacob baru-baru ni.

Tambahnya, UIAM sentiasa mengingatkan ahli-ahli akademiknya akan tanggungjawab mereka untuk memberikan hujahan yang berasaskan fakta yang jelas serta disokong oleh kajian yang telah diterbitkan dalam jurnal penyelidikan yang diiktiraf mengikut prinsip kesarjanaan dalam bidang masing-masing.

Ini penting bagi memastikan dunia akademia terus dihormati dan diiktiraf atas ketinggian ilmu dan integriti ahli-ahli akademiknya.

Tegasnya, UIAM komited untuk terus memastikan mutu dan kualiti pendidikan serta kesarjanaan di kalangan ahli akademik terpelihara.

“Kami percaya tanggungjawab besar ahli akademik adalah untuk mendidik masyarakat dengan ilmu yang autentik dan berfakta,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette

Prof. Solehah nafi dakwa Siti Khadijah dari alam Melayu, ceramah disunting