Kalaivanar (Dua dari kiri) menyerahkan memorandum kepada pegawai polis dari urusetia bahagian komunikasi korporat BUkit Aman tengah hari tadi.

KUALA LUMPUR – Badan bukan kerajaan (NGO), Nambikkai hari ini menyerahkan memorandum agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan badan siasatan bebas untuk menyiasat kes kematian seorang pegawai perubatan, Dr. Shintumathi Muthusamy di Kelana Jaya pada Oktober 2023.

Presidennya, Datuk Kalai Vanar berkata, walaupun kes berkenaan pada mulanya diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) namun keluarga mendiang meraguinya dan mengesyaki ia adalah konspirasi pembunuhan terancang ke atas mangsa.

“Ahli Keluarganya sudah membuat 18 laporan polis meminta PDRM mengklasifikasikan semula kes ini di Bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh namun ibu dan kakak mendiang kesal sehingga kini tiada sebarang perkembangan baharu siasatan dimaklumkan polis.

“Maka, hari ini mereka hadir di sini dan saya mewakili keluarga mendiang menyerahkan memorandum kes ini untuk perhatian segera Tan Sri Ketua Polis Negara (KPN) agar satu badan siasatan bebas diwujudkan dan menyiasat kes ini semula,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Menurut Kalai Vanar, ahli keluarga doktor itu mahu suspek yang bertanggungjawab terhadap kematian anak perempuannya itu perlu diheret ke muka pengadilan.

Tambah beliau, KPN menerusi perbualan WhatsApp sebelum ini berjanji kes berkenaan akan diberi perhatian serius oleh pasukan keselamatan.

Sementara itu, kakak mendiang, Revathi Muthusamy mendakwa, keluarganya dimaklumkan terdapat plastik sampah sepanjang 22 sentimeter disumbat dalam mulut mendiang sehingga saluran pernafasan mangsa tersekat dan menyebabkannya meninggal dunia semasa bertemu pasukan forensik dan patalogi di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya, Selangor mengenai keputusan bedah siasat pada Oktober 2023.

“Oleh demikian, keluarga kami curiga terdapat unsur jenayah bunuh ke atas mendiang adik perempuan saya.

“Atas dasar itulah kami membuat laporan polis dan hari ini serahkan memorandum merayu KPN agar kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh,” ujarnya. – MalaysiaGazette