Bekas Timbalan Ketua BERSATU Segambut, Adam Radzlan Adam Muhammad tiba bagi mendengar keputusan representasi berhubung 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang membabitkan projek Jana Wibawa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 4 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini dimaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menolak representasi yang dikemukakan oleh Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad untuk menggugurkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Keputusan itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh pada sebutan kes pagi ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin.

Suzana Hussin kemudian menetapkan 13 November ini bagi sambung bicara untuk projek Jana Wibawa.

Representasi itu diserahkan kepada AGC pada 4 Julai lalu.

Adam hadir pagi ini diwakili peguamnya, Datuk Seri Rajan Navaratnam.

Beliau mengaku tidak bersalah pada tahun lalu di Mahkamah Sesyen Shah Alam berhubung enam tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM3.6 juta.

Pada 22 Februari tahun lalu, Adam didakwa atas dua tuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd mendapatkan dua projek.

Ahli perniagaan itu juga berhadapan tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen sebelum ini. – MalaysiaGazette