Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man tidak perlu pilih ‘bulu’ apabila menyarankan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercuti bagi memberi laluan kepada siasatan bebas terhadap beliau sehingga selesai.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, adalah tidak adil untuk Tuan Ibrahim berkata demikan kerana terdapat ramai pemimpin gabungan Perikatan Nasional (PN) yang diheret ke mahkamah atas pelbagai pertuduhan.

“Saya ingin menggesa kepada Tuan Ibrahim supaya beliau turut memberi gesaan cuti terhadap pemimpin Pas sendiri dan Bersatu yang sedang menghadapi kes di mahmamah dan juga yang sedang disiasat.

“Sebagai contoh (Datuk Seri Muhammad) Sanusi yang sedang naik turun mahkamah apabila dituduh berkaitan kes 3R dan Mohd Shukri disiasat SPRM berkaitan kes pecah amanah.

“Dalam kes Mohd Shukri Ramli (Menteri Besar Perlis), tak kurang daripada Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Datuk Hashim Jasin sendiri yang mempertahan MB Perlis itu tidak perlu melayan gesaan supaya meletakkan jawatan malah gesaan itu disifatkannya pula sebagai tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan.

Shaiful Hazizy berkata demikian mengulas kenyataan Tuan Ibrahim yang menggesa Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri diberikan cuti bagi memberi laluan kepada siasatan bebas terhadap dirinya sehingga selesai.

Beliau yang mengalu-alukan sikap terbuka Ahmad Zahid untuk disiasat berhubung dakwaan terdapat unsur memperdaya Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika mengemukakan Akuan Berkanun (SD) bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan bagaimanapun merasakan tidak mungkin seseorang dapat disiasat sepenuhnya ketika masih memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri. – MalaysiaGazette

Zahid perlu dicutikan, beri laluan siasatan- Tuan Ibrahim