Bangunan Wisma Putra Kementerian Luar Negeri di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 18 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR- Kementerian Luar sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kebocoran maklumat berkaitan Nota Diplomatik dari Republik Rakyat China bertarikh 18 Februari 2024 yang dialamatkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.

Nota sulit itu diterbitkan sebuah portal media Filipina, 29 Ogos lalu.

Tambah Wisma Putra, laporan polis juga akan dibuat supaya siasatan boleh dijalankan pihak berkuasa dengan segera.

“Kementerian ini memandang serius isu kebocoran dokumen tersebut yang merupakan saluran perhubungan rasmi antara dua buah negara kepada pihak umum.

“Malaysia dan Republik Rakyat China mempunyai hubungan dua hala dan kerjasama yang sangat akrab dan aktif. Kedua-dua buah negara merupakan Rakan Strategik Komprehensif (Comprehensive Strategic Partners) dan sentiasa mengambil inisiatif-inisiatif baharu yang berpotensi memantapkan perkongsian ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Berkenaan isu Laut China Selatan, Wisma Putra berkata, kedua-dua negara komited untuk menyelesaikan sebarang isu secara aman menerusi konsultasi dan dialog dengan menggunakan platform sedia ada dan juga melalui saluran diplomatik, tanpa pertelingkahan atau kekerasan.

Tegasnya, pada masa yang sama pendirian Malaysia terhadap isu Laut China Selatan tidak pernah berganjak.

Malaysia katanya, akan terus mempertahankan kedaulatan, hak-hak kedaulatan serta kepentingannya di kawasan maritim negara berdasarkan kepada Peta Malaysia 1979.

“Pendekatan Malaysia ini adalah selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Convention on the Law of the Sea – UNCLOS) 1982.

“Bagi memastikan Laut China Selatan kekal sebagai lautan yang aman, stabil serta selamat bagi kelangsungan perdagangan, Malaysia akan terus mengutamakan pendekatan diplomatik dalam urusannya bersama negara lain, termasuk China.

“Ini selaras dengan peruntukan-peruntukan yang termaktub di dalam Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak di Laut China Selatan (DOC) yang menekankan penyelesaian kepada pertelingkahan secara aman, tanpa ancaman atau kekerasan,” katanya.

Tambahnya, Malaysia kekal komited di dalam rundingan antara negara ASEAN dan China bagi memuktamadkan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang substantif dan efektif dan selaras dengan peruntukan UNCLOS 1982.

“Mulai Ogos 2024, Malaysia dan Republik Rakyat China merupakan pengerusi bersama selama tiga tahun bagi mesyuarat Asean dan China berkaitan pelaksanaan DOC dan rundingan bagi memuktamadkan COC,” katanya lagi.- MalaysiaGazette