Dua doktor antara tiga suspek direman SPRM hari ini bagi bantu siasatan kartel tuntutan palsu PERKESO.

GEORGE TOWN – Dua lagi doktor ortopedik dan seorang ejen direman bagi membantu siasatan kartel memalsukan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek berusia 32, 43 dan 50 tahun itu dikeluarkan Majistret, Siti Nurul Suhaila Baharin selama empat hari bermula hari ini selepas permohonan daripada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kesemua mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kesemua suspek dibenarkan reman selama empat hari ini.

Terdahulu, semua suspek tiba ke Kompleks Mahkamah George Town di sini dengan berpakaian lokap SPRM pada jam 9 pagi.

Difahamkan, dua doktor masing-masing berusia 43 dan 50 tahun yang berkhidmat di Hospital Seberang Jaya itu ditahan dalam satu operasi sekitar negeri ini semalam.

ARTIKEL BERKAITAN

Tiga doktor antara 33 suspek direman terlibat kartel tuntutan palsu PERKESO

Media semalam melaporkan tiga doktor antara 33 individu direman bagi membantu siasatan selepas dipercayai terlibat dengan kartel memalsukan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah RM2.1 juta sejak 2017.

Ketiga-ketiga suspek diberkas dalam satu operasi semalam.

Sumber berkata, rata-rata mereka membuat tuntutan palsu atas alasan kecederaan Ligamen Anterior Cruciate (ACL) dan mengalami masalah tulang rawannya tergelincir (slip disc).

Pemohon akan menerima 50 peratus daripada jumlah tuntutan manakala baki 50 peratus dibahagi antara doktor, ejen serta runner,” katanya. – MalaysiaGazette