Seramai 33 suspek termasuk tiga doktor ditahan reman bagi membantu siasatan SPRM selepas disyaki terlibat dengan kartel memalsukan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah RM2.1 juta sejak 2017.

GEORGE TOWN – Dua doktor hospital kerajaan manakala seorang doktor swasta antara 33 individu direman bagi membantu siasatan selepas dipercayai terlibat dengan kartel memalsukan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah RM2.1 juta sejak 2017.

Perintah reman terhadap tiga doktor itu dikeluarkan selama dua hari oleh Majistret, Nadratun Naim Mohd Saidi bermula hari ini selepas permohonan daripada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tempoh reman terhadap 29 orang awam yang terdiri daripada pekerja swasta, ejen dan ‘runner’ pula dibenarkan selama tiga hari sehingga Jumaat ini manakala reman terhadap isteri kepada salah seorang ejen dibenarkan selama sehari.

Kesemua mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, semua suspek berusia 26 hingga 60 tahun dibawa ke Kompleks Mahkamah George Town, di sini, dengan berpakaian lokap SPRM pada jam 9 pagi.

Tiga doktor yang ditahan itu terdiri daripada dua hospital kerajaan manakala seorang lagi hospital swasta.

Menurut sumber, tiga doktor berusia 36 hingga 57 tahun itu masing-masing bertugas di bahagian ortopedik Hospital Bukit Mertajam, Hospital Seberang Jaya serta sebuah hospital swasta di Butterworth.

Jelasnya, baki tangkapan lain terdiri daripada 19 pekerja swasta yang merupakan pemohon tuntutan, lapan ejen dan tiga ‘runner’.

“Kesemua suspek ini ditahan dalam satu operasi sekitar negeri ini bermula jam 5 pagi hingga 9 malam semalam.

“Hasil siasatan mendapati kartel ini aktif dalam kegiatan tersebut sejak 2017 sehingga tahun ini dengan nilai tuntutan palsu berjumlah RM2.1 juta.

19 pekerja swasta yang membuat tuntutan palsu turut ditahan bagi membantu siasatan SPRM.

“Rata-rata mereka membuat tuntutan palsu atas alasan kecederaan Ligamen Anterior Cruciate (ACL) dan mengalami masalah tulang rawannya tergelincir (slip disc),” katanya.

Tambah sumber, pemohon akan menerima 50 peratus daripada jumlah tuntutan manakala baki 50 peratus dibahagi antara doktor, ejen serta runner.

ARTIKEL BERKAITAN

Tiga doktor antara 40 individu ditahan kes kartel tuntutan palsu PERKESO

MalaysiaGazette semalam melaporkan dua doktor hospital kerajaan dan seorang doktor swasta antara 40 individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai terlibat dengan kartel memalsukan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah lebih RM2 juta.

Sumber berkata, tangkapan ke atas tiga doktor itu dibuat di Bukit Mertajam dan Seberang Jaya, dekat sini, manakala orang awam termasuk pekerja swasta yang membuat tuntutan palsu itu dilakukan beberapa kawasan sekitar negeri ini. – MalaysiaGazette