Khairul Aming bersalam dengan Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon

KUALA LUMPUR – Pempengaruh dan personaliti media sosial, Khairul Aming mendedahkan telah mengeluarkan kos sebanyak RM80,000 untuk perbelanjaan tiga orang sepanjang menghasilkan video masakan di New Zealand.

Beliau atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman berkata, jumlah itu merangkumi seluruh perbelanjaan untuk penginapan, makanan dan beberapa tempahan yang dibuat saat akhir.

“Sepanjang di sana, saya menggunakan banyak wang di bahagian penggambaran di mana saya telah mengambil rumah inap yang lawa, makanan yang mahal dan banyak benda yang kami tempah pada saat-saat akhir.

“Untuk kami bertiga, kos adalah RM80,000 tetapi kalau pergi secara bersendirian dan untuk melancong tidaklah semahal itu,” katanya dalam siaran langsung (live) TikTok bagi menjawab pertanyaan netizen.

Kebanyakkan netizen di ruangan komen beranggapan perbelanjaan itu berbaloi selepas usahanya telah mendapat perhatian ramai pihak termasuk Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon.

Sebelum ini, Khairul Aming telah membanggakan nama negara apabila pempengaruh yang juga merupakan pengasas kepada Sambal Nyet itu menerima kunjungan daripada Perdana Menteri New Zealand itu ketika lawatannya ke negara ini.

Difahamkan juga pertemuan itu merupakan satu bentuk penghargaan daripada New Zealand selepas Khairul Aming menghabiskan banyak video memasak di negara tersebut.

Dalam perkembangan baharu, Khairul Aming bergegas mengejar pesawat selepas perjumpaan dengan Perdana Menteri New Zealand kerana mahu menjemput 100 pekerja kilang Nyet untuk percutian tahunan.

Dalam tempoh itu, tiada sebarang jualan sambal Nyet dan dendeng Nyet akan dibuat untuk memberi peluang kepada pekerja berehat.

Dalam story Instagram, beliau turut mengambil kesempatan itu berterima kasih kepada orang ramai yang tidak putus-putus memberi ucapan tahniah kepadanya.- MalaysiaGazette