Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bercakap pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Pelan Hala Tuju Penyahkarbon Sektor Penerbangan Malaysia di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 5 SEPTEMBER 2024

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) menegaskan tanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak adalah diletakkan di bawah ibu bapa masing-masing.

Menterinya, Anthony Loke menegaskan, pihaknya tidak boleh menjaga setiap keluarga di negara ini  berhubung sebarang tindakan salah laku membawa kenderaan melibatkan kanak-kanak.

“Macam mana Kementerian Pengangkutan boleh jaga setiap keluarga, jadi itu tanggungjawab ibubapa. Mereka kena pastikan ada mesej yang betul dan didikan serta pengajaran kepada kanak-kanak supaya tidak sesuka hati membawa kenderaan.

“Bagaimana mereka boleh mendapatkan kunci dan bawa kereta, itu sesuatu yang tidak ada sesiapa yang boleh kawal kecuali ibubapa sendiri,” katanya mengulas pertanyaan berhubung satu insiden kemalangan melibatkan kanak-kanak 10 tahun yang membawa kenderaan di Seremban, pada Selasa lalu.

Anthony berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Konsultatif Penerbangan Negara dan peluncuran Pelan Hala Tuju Penyahkarbon Sektor Penerbangan Malaysia hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki dikesan memandu sebuah kereta milik ibu bapanya sehingga mengakibatkan kemalangan dengan dua kenderaan lain di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian di Seremban.

Perkara itu disahkan  Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din yang berkata, dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, kanak-kanak berusia 10 tahun itu memandu kereta jenis Toyota Corolla bersama penumpang yang juga jirannya berusia sembilan tahun.

Kereta dipandu kanak-kanak itu terbabas ketika melalui selekoh sebelum merempuh sebuah van yang diparkir di bahu jalan.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 39(1) dan Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 serta Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sebelum ini, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang memandu kereta dengan membawa dua adiknya di kawasan Taman Putra Impiana di Puchong seperti yang tular menerusi media sosial.

Bapanya dituduh mengikut Seksyen 39 (5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sementara kanak-kanak tersebut pula didakwa mengikut Seksyen 39 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan 1987. – MalaysiaGazette