Zalif Sidek

KUALA LUMPUR- Persatuan Seni dan Budaya Redholah atau The Redholah telah membuat keputusan untuk menggugurkan salah seorang pelakon, Zalif Sidek dari dua teater yang akan dipentaskan.

Pengarahnya, Amirul Haswendy Ashari berkata, pengguguran Zalif, 39, dilakukan atas sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.

“Walaupun jadual pementasan berbaki dua minggu, tindakan ini disifatkan sebagai keputusan tepat yang diambil oleh The Redholah.

“Kami terpaksa membuat keputusan supaya perjalanan dua teater yang masih dalam proses latihan dapat berlangsung dengan lancar.

“Peluang ini kami berikan kepada Zalif kerana percaya bakat lakonannya tetapi ada sebab yang tidak dapat dielakkan menyebabkan dia digantikan dengan pelakon lain,” ujarnya.

Pihaknya tidak menafikan Zalif diberikan tawaran untuk dua pementasan teater iaitu Cinta Ahmad Mutawakkil dan Dang Anum (The Untold Story).

Amirul telah menghubungi pelakon itu dan Zalif menerima keputusan pengguguran itu dengan hati terbuka.

Kekosongan watak telah kami gantikan dengan pempengaruh TikTok, Aman Salleh yang terbabit dalam teater Dang Anum (The Untold Story) dan untuk teater Cinta Ahmad Mutawakkil pula tempat Zalif digantikan oleh penyampai radio HotFM, AG Hafiz.

The Redholah akan mementaskan teater Cinta Ahmad Mutawakkil terbitan Perbadanan Putrajaya sempena Festival Budaya Putrajaya pada 20 hingga 22 September ini.

Manakala teater Dang Anum (The Untold Story) pula akan menemui penonton pada 27 hingga 29 September ini dan kedua-dua teater itu bakal dipentaskan di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast