Suri rumah maut dipukul dengan tukul besi dan but keselamatan oleh anak lelakinya yang berada dalam pengaruh dadah di Kampung Jawa, Klang.

Oleh: Selvarani P. Kovil Pillai

TANGGAL 31, bulan lapan, kita meraikan hari kemerdekaan dengan penuh kegemilangan namun adakah semua insan di bumi yang kita sanjung ini merasai kemerdekaan dalam erti kata yang sepenuhnya. Ini yang menjadi tanda persoalan. Anak-anak yang menjadi mangsa penderaan oleh ibu bapa dan individu tertentu serta anak-anak yang menjadi mangsa ibu bapa yang menjadi hamba kepada dadah dan alkohol.

Anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya. Ungkapan ini membawa pengertian bahawa anak-anak yang dilahirkan ke dunia ini tidak tahu apa-apa, tidak dapat membezakan antara yang baik dan buruk, justeru, ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk mendidik dan membentuk peribadi dan tingkah laku anak-anak mereka.

Namun, ada ibu bapa yang berada dalam pengaruh dadah dan alkohol ini bukan sahaja ada tidak mampu mencorakkan kehidupan anak tersebut, malah mencemarkan dan memudaratkan kehidupan anak-anak mereka. Ibu bapa yang mabuk ini seringkali kehilangan kawalan kendiri dan membuat tindakan yang membuta tuli sehingga anak-anak yang kecil seringkali menjadi mangsa kepada ibu bapa yang tidak bertanggungjawab ini.

Kes-kes penderaan akibat ketagihan alkohol ini membabitkan anak-anak remaja dan dewasa. Kita pernah membaca berita di mana anak-anak dewasa yang tidak tahan dengan tingkah laku bapa yang mabuk nekad untuk membunuh bapa mereka. Akibatnya mereka terpaksa menjalani hukuman kerana mengambil tindakan melulu untuk membunuh. Kita juga pernah membaca kes-kes penderaan kanak-kanak dan remaja oleh si pemabuk yang merupakan bapa sendiri atau bapa tiri.

Kes penderaan seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang dipukul dengan teruk. Satu lagi kes membabitkan seorang bapa berusia 47 tahun yang tergamak memukul dan menendang anak perempuannya yang berusia 17 tahun sehingga parah. Satu lagi kes yang mana bapa tiri  mabuk telah merogol anaknya yang berusia lapan tahun tahun.

Kesan mabuk ini berbeza-beza, ada bapa yang mabuk, pulang ke rumah, terus ke kamarnya dan tidur. Ada pula bapa mabuk itu mencari isterinya untuk memenuhi kepuasan nafsunya. Dalam kes ini, isteri si pemabuk akan menjadi mangsa kepada si suami tersebut. Namun si isteri mempunyai pilihan sama ada rela menerima hakikat suaminya yang mabuk itu atau menasihatkan suaminya mendapatkan rawatan pemulihan.

Si isteri juga boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa sekiranya tindakan suami pemabuk itu boleh membahayakan keselamatannya. Dalam kes tertentu, bukan sahaja isteri yang menjadi mangsa, tetapi juga melibatkan anak-anak yang kecil yang tidak berdosa.

Yang menjadi persoalan dalam konteks ini ialah anak-anak kecil yang tidak tahu bersuara. Tidak tahu mengadu kepada guru sekolah atau rakan-rakan. Ibu dan orang dewasa yang ada di rumah pula bertindak untuk tidak mengadu atau menyimpan rahsia tingkah laku si bapa.

Isteri boleh menahan kesakitan namun si kecil hanya tahu menangis dan meraung dalam kesakitan, akhirnya tidur dan bangun pada hari berikutnya dan pergi ke sekolah. Mereka tidak berani untuk berkongsi kesengsaraan mereka dengan sesiapa termasuk rakan di sekolah.

Kemungkinan mereka berasa malu dan merahsiakan trauma yang harus ditempuhi setiap kali si bapa pulang ke rumah dalam keadaan mabuk dan memukul anak-anak. Pemabuk yang mabuk terus pulang dan tidur di kamar adalah seribu kali lebih baik daripada si pemabuk yang pulang ke rumah, buang dan pecahkan perabut dan barang-barang di rumah, memukul isteri, anak-anak dan juga ibu bapa yang tua yang masih tinggal bersama mereka. Anak-anak ini lebih kejam daripada si Tanggang yang derhaka kepada ibunya.

Namun adakah anak-anak kecil yang menjadi mangsa ini ilindungi dan diberi bantuan oleh sesiapa? Dalam Akta Kanak-kanak 2001, kanak-kanak diiktiraf sebagai kunci kehidupan, pembangunan dan kemakmuran negara. Akta ini turut menyatakan anak-kanak berhak mendapat perlindungan dan bantuan dalam segala hal dan mengiktiraf ibu bapa dan keluarga bagi memainkan peranan dalam pembesaran, penyaraan dan kebajikan mereka.

Dalam kes ini si bapa atau si ibu yang sepatutnya menjaga kebajikan anak-anak ini menjadi pemusnah kehidupan anak-anak tersebut ibarat “harapkan pagar, pagar makan padi”. Dalam konteks ini, si bapa atau si ibu gagal melindungi anak-anak yang tidak berdosa ini. Si bapa pemabuk pulang ke rumah, menendang, menghentak anak ke dinding, memukul mereka malah merogol anak-anak kecil ini yang tidak berdosa ini. Siapa yang membela atau menyelamatkan anak-anak ini?

Ini yang menjadi dilema. Ada kes yang berjaya dan diselamatkan kerana berjaya dibongkar melalui media sosial atau melalui laporan kepada pihak berkuasa namun masih ada ramai mangsa di luar sana yang terpaksa menahan ketangisan dan trauma menjadi anak kepada si pemabuk. Mereka tidak tahu untuk bersuara, hanya menahan dan memendam segala kesengsaraan mereka secara diam-diam.

Anak-anak yang menjadi mangsa ketagihan ibu bapa perlu diselamatkan dan dilindungi kerajaan dan masyarakat. Pihak sekolah khususnya guru-guru dan tadika boleh memainkan peranan, mereka perlu sensitif terhadap keadaan mental dan fizikal kanak-kanak yang hadir ke sekolah itu. Pihak sekolah perlu menyediakan modul atau panduan kepada guru-guru untuk menolong anak-anak yang menjadi mangsa kepada ibu bapa yang menjadi hamba kepada dadah dan alkohol ini.

Guru-guru harus memberi panduan serta sokongan moral kepada kanak-kanak tersebut. Sekiranya perlu, sekolah boleh bekerjasama dengan PDRM serta Jabatan Kebajikan untuk menangani masalah kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan si bapa atau ibu yang mengalami ketagihan tersebut.

Kanak-kanak yang menjadi mangsa ini perlu diberi kesedaran tentang masalah ketagihan arak dan dadah dan kesannya kepada keselamatan anak-anak tersebut. Kanak-kanak tersebut perlu diajar masalah ketagihan arak ibu bapa tersebut bukan disebabkan oleh anak-anak yang tidak berdosa itu.

Kanak-kanak tersebut perlu mendapat sokongan daripada rakan-rakan, kaunselor sekolah, dan guru dan saudara mara yang boleh membantu mereka. Mereka perlu diberi kesedaran bahawa tindakan mereka untuk mendapatkan perlindungan dan sokongan daripada orang lain tidak bermaksud mereka mengkhianati atau tidak menyayangi ibu bapa tetapi bertujuan untuk menjaga keselamatan mereka.

Kanak-kanak tersebut perlu berani diberi tunjuk ajar serta diberi panduan untuk membuat laporan terhadap ibu bapa yang mendera mereka sewaktu mabuk. Selalunya, kanak-kanak yang menjadi mangsa ini tidak tahu malah takut untuk membuat laporan polis atau menghubungi Jabatan Kebajikan.

Kanak-kanak yang menjadi mangsa perlu diberi tempat perlindungan lebih selamat. Kemungkinan jiran yang tinggal berhampiran dengan rumah mangsa boleh membuat aduan polis, namun mereka juga akan berasa keselamatan mereka akan terancam sekiranya si bapa pemabuk ini bertindak untuk melawan jiran mereka. Oleh yang demikian, pihak yang berkaitan perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk menolong anak-anak yang tidak berdosa ini.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati seorang daripada 10 rakyat Malaysia mengambil alkohol. Berdasarkan tinjauan tersebut, separuh daripada mereka minum secara berlebihan manakala hanya 10 peratus yang minum sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Pakar Psikiatri Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Luke Woon Sy-Cherng mengatakan sangat penting untuk memahami penggunaan alkohol yang berlebihan kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan dan gangguan mental yang lain seperti kemurungan, keresahan dan perubahan  personaliti. “Segelintir pesakit yang mengalami masalah ini (kemurungan dan keresahan) akan minum alkohol secara berlebihan sebagai percubaan memperbaiki kestabilan emosinya,” katanya.

Tidak mungkin kita dapat membanteras masalah ketagihan alkohol namun kita dapat mengambil langkah-langkah yang sewajarnya melalui pelaksanaan undang-undang yang boleh menjaga keselamatan anak-anak yang menjadi mangsa si pemabuk supaya mereka tidak mengharungi sisa-sisa kehidupan mereka dalam tangisan.

Anak-anak yang menjadi mangsa penderaan boleh menghubungi Talian Kasih 15999 dan WhatsApp 019-2615999 yang beroperasi 24 jam atau JKM berhampiran.

Penulis Pensyarah Program Komunikasi Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast