Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf bercakap dalam sidang media di Menara KPJ, Kuala Lumpur, hari ini. Foto MOHD ADZLAN, 06 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kes jenayah komersial telah merekodkan sebanyak 20,162 kes dengan nilai kerugian berjumlah RM1.6 bilion sejak awal tahun ini sehingga 1 September lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, jumlah itu bersamaan dengan lapan kes sehari dengan nilai kerugian harian mencecah RM6.8 juta.

“Jika mahu dibandingkan, jumlah kes yang direkodkan setakat ini menunjukkan penurunan sebanyak lapan peratus jika dibandingkan dengan tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sebanyak 21,904 kes.

“Bagaimanapun, nilai kerugian menunjukkan trend yang berbeza kerana meningkat sebanyak 29 peratus berbanding tahun lalu yang mencatatkan kerugian sebanyak RM1.2 bilion,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ramli berkata, penipuan pelaburan dalam talian pula merupakan antara kategori yang mencatatkan jumlah kerugian yang membimbangkan.

“Sepanjang Januari hingga Ogos lalu, penipuan pelaburan telah mencatatkan sebanyak 3,863 kes dengan nilai kerugian sebanyak RM4.8 bilion.

“Kes terbaru dilaporkan pada 4 September lalu di mana mangsa, seorang lelaki berusia 49 mendakwa dirinya telah ditipu sebanyak RM4.6 juta oleh sindiket pelaburan,” ujarnya.

Pihaknya juga dalam usaha untuk mengenal pasti 16 medium komunikasi yang digunakan modus operandi penipuan pelaburan.

“Daripada kesemua medium itu, Telegram menjadi pilihan popular dengan 1,346 kes manakala Facebook dan WhatsApp masing-masing merekodkan 948 dan 873 kes,” tambahnya. – MalaysiaGazette