KUALA LUMPUR- Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berang dengan kontraktor Dewan Selera MRSM Taiping yang didapati tidak mengikut piawaian yang ditetapkan agensi itu termasuk melibatkan kebersihan.
“Memang akan ditamatkan. Tiada kompromi! Bahkan saya sudah arahkan Bahagian Undang-Undang MARA untuk ambil tindakan perundangan,” katanya menjawab satu komen di hantaran Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Asyraf melakukan ‘terjahan’ ke Dewan Selera MRSM Taiping, Perak bagi meninjau penyediaan makanan di situ.
Ia susulan kes keracunan makanan yang melibatkan 31 pelajar 30 Ogos lalu sehingga menyebabkan beberapa pelajar terpaksa di hospital.
Menurut beliau, kejadian itu bukan pertama kali berlaku kerana pelajar-pelajar yang ditemuinya memberitahu, seramai 50 orang mengalami keracunan makanan Oktober tahun lepas.
Mereka turut berkongsi gambar-gambar menunjukkan ada ulat dalam nasi, sayur dan serangga dalam hidangan makanan.
“Saya tidak sesekali akan berkompromi dengan perkara ini dan tegas terhadap isu yang melibatkan kesihatan pelajar.
“Saya memberi tempoh kepada pengusaha dewan makan ini sehingga esok untuk menyelesaikan isu-isu ini atau tindakan selanjutnya akan dikenakan.
“Kesihatan, keselesaan dan kebajikan anak-anak MRSM adalah perkara yang amat saya titikberatkan dan tiada kompromi dalam hal ini,” tegasnya.
Selain aspek kebersihan, Asyraf turut mendapati kontraktor tidak menyediakan pekerja yang tidak mencukupi, tidak mengikut menu harian yang ditetapkan serta keadaan kebersihan dapur yang berada di tahap yang tidak memuaskan.-MalaysiaGazette