Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Langkah untuk mewajibkan pemasangan Sistem Pembrekan Antikunci (ABS) bermula 1 Januari tahun depan mendapat reaksi positif daripada pengeluar motosikal.

Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dalam kenyataan berkata, kira-kira 70 peratus model motosikal dengan kapasiti enjin 150cc hingga 250cc yang ditawarkan oleh tiga pengeluar utama di Malaysia telah pun dilengkapi dengan ABS.

Katanya, dari segi kos, pemasangan wajib ABS dijangka mampu memberi impak yang minimum.

“Tren global menunjukkan harga komponen ABS semakin stabil terutamanya dengan peningkatan pengeluaran besarbesaran oleh pengeluar motosikal di peringkat antarabangsa.

“Skala pengeluaran yang lebih besar ini dijangka akan terus menurunkan kos komponen ABS, menjadikan teknologi ini lebih mampu milik.

“Dengan ini, penunggang motosikal di Malaysia dapat memiliki motosikal yang lebih selamat tanpa kenaikan kos yang ketara, sekaligus menyumbang kepada peningkatan keselamatan jalan raya secara keseluruhan,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, semua motosikal baharu dengan kapasiti enjin 150cc dan ke atas perlu mempunyai sistem brek anti kunci (ABS), mulai 1 Januari 2025.

Katanya, menjelang tahun 2027, motosikal dengan kapasiti enjin 125cc dan ke atas mesti mempunyai sistem sama.

Jelasnya, penguatkuasaan itu berikutan laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia mengatakan ABS boleh mengurangkan kematian di kalangan penunggang motosikal sebanyak 31 peratus semasa kemalangan.

Beliau yakin bahawa inisiatif itu akan mengurangkan kematian trafik jalan raya di negara dan memberi inspirasi kepada negara-negara ASEAN lain untuk menerima pakai yang serupa langkah membuatkan motosikal lebih selamat di seluruh rantau ini.

Dalam perkembangan sama MIROS berkata, di Malaysia, penunggang motosikal merangkumi 65 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian akibat nahas jalan raya.

Menurut statistik kemalangan jalan raya yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 93 peratus motosikal yang terlibat dalam kemalangan maut dan cedera parah adalah melibatkan motosikal yang berkapasiti di bawah 250cc.

“Oleh itu, pemasangan ABS pada motosikal bermula dari 150cc adalah langkah penting untuk meningkatkan keselamatan pengguna motosikal.

“Data yang dikeluarkan oleh data yang dikeluarkan Persatuan Pemasang dan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MASAAM) juga menunjukkan bahawa tren penjualan motosikal di Malaysia dalam segmen 126cc hingga 250cc telah meningkat sebanyak 145% peratus pada tahun 2019 berbanding 2016.

“Motosikal berkapasiti lebih besar khususnya melebihi 150cc, boleh memanfaatkan teknologi ABS kerana berat dan halaju yang lebih tinggi menyebabkan motosikal jenis ini memerlukan jarak berhenti yang lebih panjang untuk berhenti dengan selamat.

“Dalam situasi brek kecemasan, ABS berperanan penting untuk memastikan penunggang dapat mengawal motosikal dengan lebih cekap dan selamat, sekaligus mengurangkan risiko perlanggaran,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Motosikal baharu kapasiti enjin 150cc perlu miliki ABS bermula 1 Januari depan – TPM

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast