Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Puteri UMNO,  Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menganggap seseorang yang mempunyai ramai pengikut di media sosial tidak semestinya betul dalam melakukan segala tindakan.

Beliau memberikan pandangannya terhadap sikap seorang pemandu bas sekolah yang ditahan awal pagi tadi kerana merakam video kanak-kanak perempuan dalam bas sekolah seperti yang tular dalam media sosial ketika ini.

“Ramai followers tak semestinya sentiasa betul, biar PDRM (Polis Diraja Malaysia) siasat abang bas, jangan normalisasikan perkara yang tidak normal,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Media hari ini melaporkan Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar memaklumkan, polis menahan pemandu bas berusia 24 tahun pada pukul 2.57 pagi di kawasan Simpang Renggam, Kluang kerana melakukan perbuatan tersebut.

Lelaki itu dicekup oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dengan turut merampas telefon bimbit yang digunakan untuk memuat naik hantaran berkenaan.

Tindakan diambil selepas menerima laporan kejadian berkenaan dan menjalankan siasatan penularan rakaman video memaparkan kanak-kanak dalam bas dipandu seorang lelaki.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seskyen 15 (a)(iii) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seskyen 15(2) Akta Kanak 2001.

Perkara itu turut mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri apabila mengarahkan pegawainya dari Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) mengambil tindakan tegas itu kepada individu tersebut.

Sebelum itu, tular beberapa video yang memaparkan seorang pemandu bas yang mempunyai lebih 600,000 pengikut di TikTok, merakam beberapa murid sekolah perempuan yang dianggap pemandu bas tersebut sebagai crush atau seseorang yang diminati atau disukai secara romantik.

Kesemua video yang dirakam sambil memandu itu memaparkan wajah murid-murid tersebut dengan jelas.

Video-video itu setakat ini sudah mempunyai sebanyak 10.5 juta tanda suka.- MalaysiaGazette