Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan statistik mangsa love scam. Foto MOHD ADZLAN, 06 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Golongan wanita merekodkan jumlah mangsa penipuan love scam tertinggi iaitu seramai 368 individu berdasarkan statistik sejak Januari tahun ini sehingga Oktober lepas.

Seramai 744 wanita telah menjadi mangsa dalam tempoh Januari hingga Disember tahun lalu.

Ia menunjukkan jurang yang berbeza dengan golongan lelaki yang melibatkan seramai 128 mangsa setakat Oktober tahun ini dan 191 kes untuk tahun lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, sehingga Ogos tahun ini, jumlah kerugian disebabkan love scam telah mencecah RM23,364,925.89 dan RM43,920,299.01 untuk tahun lalu.

“Sebanyak 79.3 peratus daripada jumlah keseluruhan 2,223 mangsa love scam yang dicatatkan sejak tahun 2022 adalah wanita.

“Antara faktor utama yang menyebabkan wanita sering menjadi mangsa adalah sifat semulajadi wanita yang lebih terbuka dalam aspek emosi dan hubungan peribadi.

“Sindiket seterusnya akan bertindak merangka strategi untuk mengambil hati dan menimbulkan rasa empati dalam diri golongan wanita,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Perkara itu berlaku terutamanya dalam kalangan wanita yang kesunyian lebih-lebih lagi mereka yang tidak bersuami atau kematian suami.

“Harapan menemukan cinta sejati sering kali menyebabkan wanita percaya kepada rekaan cerita yang adakalanya tidak masuk akal,” tambahnya.

Ramli berkata, kajian yang dijalankan mendapati tiada kategori tertentu yang menjadi sasaran sindiket penipuan berkenaan.

“Jika kita lihat, pada tahun 2022, jumlah masa tertinggi direkodkan adalah mereka yang berumur dalam lingkungan 21 hingga 30 tahun dengan jumlah 211 individu.

“Tahun 2023 pula mencatatkan rekod tertinggi iaitu 215 individu daripada individu berumur antara 41 hingga 50 tahun,” katanya.

Sebagai langkah pencegahan, individu yang menjalinkan hubungan cinta terutamanya secara maya disarankan untuk mengambil langkah lebih berhati-hati.

“Ingat, sentiasalah berwaspada dengan tanda-tanda penipuan seperti permintaan kewangan yang tiba-tiba, cerita yang tidak konsisten, atau profil yang terlalu bagus untuk menjadi kenyataan.

“Dalam masa yang sama, kita harus bersikap skeptikal dengan selalu mempersoalkan niat seseorang terutamanya jika hubungan baharu dan melibatkan permintaan bantuan kewangan atau maklumat peribadi,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast