Azalina dan Kor Ming (tengah) merakam kenangan selepas elepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR) Felda Sungai Mas, Kota Tinggi, hari ini

KOTA TINGGI – Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian perlu dibentangkan secepat mungkin bagi membolehkan tindakan pantas dapat diambil sekiranya berlaku penyalahgunaan gambar kanak-kanak tanpa kebenaran dalam media sosial.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini berikutan tindakan seorang pemandu bas yang menyiarkan video kanak-kanak dalam bas dalam media sosial miliknya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang menzahirkan penghargaan terhadap netizen yang menyalurkan maklumat berhubung insiden itu kepada pihak berkuasa.

“Bagi pihak kami di bahagian Hal Ehwal Undang-Undang kewujudan Akta Jenayah Dalam Talian kita perlu bentangkan secepat mungkin yang saya sebut pada sesi Oktober ini dalam situasi sedemikian.

“la untuk memberi maklumat kepada contohnya kalau ada keluarga yang tidak puas hati mereka boleh lapor dan turunkan gambar, pakar cakap dua tiga hari ini pun benda itu akan ‘spread by the milion’. Jadi kalau kita tengok sebelum keluar surat khabar, 10 juta penonton selepas keluar 20 juta penonton.

“Jadi maknanya ‘there is a poll’ dan kemungkinan mungkin penilaian daripada ‘platform provider’ kalau kita ‘evaluet’ dia boleh bagi spesifik data yang mana paling tonton mungkin dari luar negara, orang macam mana tengok, kita takut mungkin ada satu gerakan jenayah yang bersedia,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR) Felda Sungai Mas di sini hari ini yang disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Terdahulu, seorang pemandu bas ditahan Polis di Simpang Renggam, Kluang pukul 2.57 pagi tadi kerana memaparkan video kanak-kanak dalam bas ke akaun media sosial miliknya.

Ekoran itu suspek berusia 24 tahun itu turut disiasat mengikut Seksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menyiarkan gambar kanak-kanak melalui apa-apa perantara elektronik dan direman lima hari bermula hari ini.

Sebelum ini tular dalam aplikasi TikTok pemandu bas berkenaan yang menggelar seorang pelajar sekolah rendah perempuan di tempat duduk hadapan bas sebagai orang yang disukainya atau ‘crush’ dan ‘kesayangan’.

Hantaran itu mendapat pelbagai reaksi termasuk kecaman golongan ibu bapa yang berpendapat hantaran seperti itu tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Pemilik akaun yang menggunakan nama ‘Abang Bas’ mempunyai lebih 600,000 pengikut memuat naik video ketika memandu bas sekolah, dengan wajah pelajar sekolah rendah jelas kelihatan di belakangnya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri telah mengarahkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) membuat laporan Polis, berhubung video itu.

Dalam pada itu, Azalina berkata, apa yang berlaku melalui teguran dan laporan dari netizen ini adalah satu tindakan yang baik serta sangat digalakkan.

“Rakyat memantau rakyat memberi maklumat dan rakyat juga menjadi watchdog. Jadi kalau masyarakat kita ramai tengok biar ramai komen tegur beri maklumat supaya kita boleh cari mereka.

“Satu pendekatan yang baik saya ucap terima kasih kepada netizen kerana beri maklumat jadi kalau ada banyak lagi yang tahu beritahulah supaya kita akan buat gerakan untuk menangkis dan berikan mereka maklumat bahawa ini salah.

“Saya juga hendak nasihat anak lelaki ke perempuan jangan bagi gambar kita kepada sesiapa dan ibu bapa jika hendak keluarkan gambar anak cover muka sebab boleh dimanipulasi sebab budak-budak  kecil memang comel ada orang yang suka misalnya pedofilia sebab golongan ini ada masalah mental,” katanya. – MalaysiaGazette