Muhyiddin beramah mesra dengan tetamu dalam Kenduri Rakyat di Kampung Bentong Luar, Kluang, hari ini

KLUANG – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak mengambil 1 sen pun dalam pemberian tender perkhidmatan 1BestariNet semasa menjadi Menteri Pendidikan.

Bagaimanapun bekas Perdana Menteri itu berkata, terpulang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan berhubung isu tersebut.

“Wallahi, satu sen pun saya tidak ambil. Benar ketika itu saya merupakan Menteri Pendidikan tetapi dicadangkan untuk mengadakan tender terbuka, terbuka ‘international’ dan keputusan dibuat oleh Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

“Satu daripada rancangan asal program ini adalah untuk semua sekolah di negara kita mempunyai internet. Tetapi soal pelaksanaan itu ada masalah lain, saya tidak tahu apa sebabnya. Mengenai SPRM hendak siasat itu hak dia, saya tidak terlibat dalam soal itu.

“Jangan ada yang buruk sangka kerana berlaku ketika itu saya menteri (pendidikan), saya tidak lihat kontrak, tidak tengok apa peruntukan, semua disediakan kerajaan, Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata demikian selepas majlis Kenduri Rakyat di Kampung Bentong Luar, di sini, hari ini.

Muhyiddin ditanya mengenai siasatan SPRM berhubung tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada 2011.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau hanya mengetahui mengenai siasatan SPRM berhubung tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet menerusi akhbar.

“Ada cerita baharu tentang tuntutan palsu, saya tak tahu, saya baca yang ditulis di dalam surat khabar sahaja.

“Sebelum ini saya pernah disiasat, sebab ada yang buat aduan namun tiada sebarang tindakan diambil. Saya tidak tahu mengapa ia dibangkitkan semula,” katanya.

Kelmarin, SPRM dilaporkan memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pelajaran Malaysia bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL pada 2011.

Menurut sumber, SPRM telah membuat penggeledahan ke atas pejabat kerajaan dan pejabat YTL Communications Sdn Bhd di Kuala Lumpur kelmarin.

SPRM juga difahamkan sedang mengkaji bagi mengenal pasti saksi yang akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan yang menjurus kepada dokumen tuntutan mengandungi butiran palsu membabitkan pembayaran kira-kira RM2.7 bilion. – MalaysiaGazette