Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed. Foto MOHD ADZLAN, 06 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Seorang peguam disyaki telah melakukan pecah amanah melibatkan yuran guaman berjumlah RM52,977, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Laporan itu telah dibuat oleh mangsa yang juga merupakan seorang peguam pada 20 Ogos lalu.

“Firma guaman milik mangsa telah dilantik sebuah syarikat untuk menguruskan urus niaga pembelian dan penjualan hartanah sekitar tahun 2022.

“Mangsa kemudiannya telah mengamanahkan suspek iaitu rakan kongsinya untuk mengendalikan urusan itu. Firma guaman mangsa kemudiannya menghantar tuntutan yuran guaman berjumlah RM52,977 kepada syarikat berkenaan,” jelasnya.

Bagaimanapun, yuran itu tidak dilunaskan atas alasan suspek memberikan pengecualian yuran guaman.

“Mangsa menafikan dia tahu tentang hal itu malah suspek juga tidak mempunyai sebarang autoriti untuk mengenakan pengecualian yuran guaman bagi setiap perkhidmatan yang ditawarkan firma mereka,” tambahnya.

Beliau berkata, mangsa mengesyaki yuran guaman tersebut telah disalurkan ke akaun peribadi suspek setelah mendapat maklumat daripada sebuah firma guaman lain (tempat kerja baharu suspek) berhubung salinan sekeping cek bernilai RM52,977 yang dibayar oleh syarikat itu kepada suspek.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan rekod, suspek pernah terlibat dengan tiga kes penipuan sebelum ini dengan perbicaraan sedang berjalan untuk satu kes manakala dua lagi masih dalam siasatan.

Semakan lanjut mendapati mangsa kini masih lagi sedang aktif bertugas sebagai seorang peguam.

Sementara itu, Ramli menggesa Majlis Peguam Malaysia untuk bertindak lebih tegas untuk memelihara martabat dan keyakinan masyarakat terhadap profesion guaman.

“Sebagai contoh, mereka yang disyaki terlibat dengan sebarang kes jenayah boleh digantung khidmat guamannya,” katanya. – MalaysiaGazette