Nurul Ezzati Azmi

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu memikirkan cara lebih selamat bagi melindungi hak kanak-kanak daripada terus menjadi mangsa pelaku durjana.

Ketua Srikandi Muda Bersatu Perak, Nurul Ezzati Azmi berkata, kes gangguan seksual melibatkan kanak-kanak di negara ini semakin meningkat dan keadaan itu sangat membimbangkan jika tidak dipandang serius semua pihak.

“Kebanyakan kes gangguan seksual yang melibatkan golongan kanak-kanak ini majoritinya berlaku disebabkan oleh pelaku yang mengenali si mangsa secara amnya.

“Ganggual seksual ini sekiranya tidak dibendung, ia boleh menjejaskan kemandirian dan kepercayaan kanak-kanak ini pada diri dan masa hadapan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Nurul Ezzati menggesa KPWKM supaya memandang serius perkara tersebut dengan mencari langkah segera bagi membela hak kanak-kanak.

Kelmarin media melaporkan, polis  menahan pemandu bas yang memuatnaik rakaman video penumpangnya yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai orang disukainya atau crush dan ‘kesayangan’.

Penahanan pemandu berusia 24 tahun itu dibuat sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kluang, kira-kira pukul 2.57 pagi di Simpang Renggam, Johor.

Polis turut merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan pemandu itu untuk memuatnaik hantaran berkenaan di akaun media sosial miliknya.

Terdahulu,  tular di aplikasi TikTok seorang lelaki dipercayai pemandu bas sekolah menggelar seorang penumpangnya yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai orang disukainya atau ‘crush’ dan ‘kesayangan’.

Hantaran itu mendapat kecaman orang ramai yang berpendapat ianya tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Tindakan merakam foto atau video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa melanggar hak serta privasi mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Berdasarkan pemerhatian di TikTok, pemilik akaun itu yang menggunakan nama ‘Abang Bas’ yang mempunyai lebih 600,000 pengikut, merekodkan video ketika memandu kenderaannya dengan wajah pelajar jelas kelihatan. – MalaysiaGazette