KUALA LUMPUR – Bek kanan Go Ahead Eagles di Liga Erevidisie, Mats Deijl teruja untuk mewakili skuad Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.

Dia turut mendedahkan telah dihubungi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas memaklumkan kepada badan induk itu bahawa dirinya memiliki darah warisan Malaysia.

“Saya beritahu mereka saya berdarah Malaysia dan kemudian mereka berkata, ‘apakah anda sedia mempertimbang beraksi untuk skuad bola sepak Malaysia?

“Saya kata, ‘jika itu boleh dilakukan, sudah tentu.’ Sekarang mereka meminta sijil kelahiran ibu dan bapa saya yang menetap di Belanda dan daripada datuk saya.

“Dokumen itu perlu dihantar dari Jerman, dokumen itu kini dihantar,” katanya bila ditemu bual program audio siar Sam & Eus: Tijgerbalsemz semalam.

Deijl turut mengakui pada awalnya, dia berpendapat impian mewakili Harimau Malaya sebagai mustahil.

Namun kini merasakan impiannya semakin hampir jadi realiti.

“Pada mulanya, saya fikir perkara ini tidak akan berjaya dan menjadi sebahagian daripada Malaysia kedengaran mustahil tetapi sekarang saya semakin yakin dengan perkara ini,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin mendedahkan dua pemain berdarah warisan bakal mewakili skuad senior negara.

Dua pemain yang dinyatakan ialah Deijl dan pemain tengah St. Louis City 2, Wan Kuzain Wan Kamal.

Deijl yang lahir di Vlaardingen beraksi di posisi bek kanan bersama kelab Liga Eredivisie, Go Ahead Eagles sejak tahun 2021 dan berjaya buat 67 penampilan selain menjaringkan empat gol. – MalaysiaGazette