Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay hadir Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Suksis Universiti Awam Malaysia ke 20 Tahun 2024 di Dataran Gemilang, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Foto SADIQ SANI, 7 SEPTEMBER 2024

BANGI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memberhentikan perkhidmatan 175 pegawai dan anggotanya sejak tahun lalu kerana terlibat dengan salah laku.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah itu adalah susulan daripada 1,869 pegawai dan anggota yang dikenakan tindakan tatatertib.

“Tahun lalu merekodkan 1,238 pegawai dan anggota dikenakan tindakan tataertib dan daripada jumlah itu, seramai 139 orang telah dibuang kerja.

“Bagi tahun ini pula, setakat Julai merekodkan 631 pegawai dan anggota dikenakan tindakan tatatertib dengan 36 daripadanya dibuang kerja,” katanya pada sidang media di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Ayob Khan hadir bagi menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Siswa Siswi Universiti Awam ke-20.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad serta Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Mengulas lanjut, Ayob Khan menegaskan, berdasarkan statistik itu, pihaknya akan terus konsisten dan berterusan mengambil tindakan serta tidak bertolak ansur terhadap pegawai dan anggota yang terlibat dengan salah laku.

Tambah beliau, antara salah laku yang dikesan adalah seperti melakukan pemerasan serta terlibat dengan sindiket dadah.

“Sewaktu saya di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), ada beberapa pegawai termasuk ketua jabatan narkotik berpangkat superintendan sebuah negeri di Pantai Timur dibuang kerja,” katanya.

Jelas Ayob Khan lagi, banyak langkah diambil oleh PDRM dalam usaha menangani isu salah laku seperti ikrar bebas rasuah, audit kewangan, pemantauan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) serta profiling.

“Berdasarkan statistik bagi tindakan di bawah Peraturan 3C Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, ada 50 kes direkodkan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast