BANGI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengekang gerakan ekstremis di negara ini.
Pemantauan dilakukan oleh oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Beliau berkata, PDRM turut bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam mengekang aktiviti tersebut.
“Ketiga, kita bekerjasama dengan SKMM untuk mendapatkan bantuan untuk menurunkan, menyekat, atau untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung sesuatu posting (hantaran di media sosial). Kita memang ada kerjasama yang rapat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perbarisan dan Tamat Latihan serta Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswi Universiti Awam ke -20 Tahun 2024 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, jika dahulu, gerakan itu akan merekrut ahli kumpulan militan menggunakan format dan cara tertentu, tetapi kini semuanya dilakukan dengan menggunakan media sosial.
Justeru, katanya, polis kini memfokuskan kepada aspek tersebut dengan kerjasama mantap daripada pihak berkaitan.
Ayob Khan turut mengakui penggunaan media sosial termasuk Telegram turut disalah gunakan untuk kegiatan jenayah seperti perjudian dalam talian, pornografi kanak-kanak dan penipuan.
“Tapi isu ini sukar dikawal kerana tidak terikat dengan kita dan sebab itu kerajaan melesenkan (platform media sosial) untuk memudahkan pemantauan, banyak negatif daripada positif,” ujarnya.
Semalam media melaporkan aplikasi Telegram dikenal pasti PDRM sebagai medium paling banyak digunakan dalam penipuan pelaburan melibatkan 1,346 kes dalam tempoh lapan bulan tahun ini.
Jumlah itu daripada 16 medium dikesan pihak polis sejak 1 Januari hingga 31 Ogos lalu melibatkan keseluruhan kes sebanyak 3,863.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dipetik berkata, dalam tempoh terbabit, sebanyak 3,863 kes penipuan pelaburan dicatatkan dengan kerugian kira-kira RM483.9 juta.
Ujarnya, selain Telegram, pihaknya mendapat Facebook dan Whatsapp masing-masing merekodkan 948 dan 873 kes.
Ia diikuti Instagram (146), bersemuka (96), aplikasi temujanji sosial (61) serta lain-lain (393) termasuk WeChat, laman web dan sebagainya. – MalaysiaGazette