Gambar hiasan

AMAT dikesali apabila Prof. Dr. Rusdi Omar, Dekan di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM), boleh menulis artikel bertajuk “Tiada Sebab PN Persoal MoU Peruntukan Pembangkang” bagi menjustifikasikan syarat-syarat ketat yang dikenakan oleh Kerajaan Perpaduan kepada Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) sebelum mereka boleh diberikan Peruntukan Kawasan Sama Rata sebagai Ahli Parlimen seperti dinikmati oleh Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan.

Rusdi sepatutnya fokus kepada isu utama dan asas. Kerajaan Perpaduan diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Presiden PKR dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH). Selaku Pengerusi PH, Anwar meluluskan dan menandatangani Manifesto PH dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) pada 19 November 2022.

Dalam manifesto PRU15 PH pada tajuk “Memperkasa Sistem Demokrasi Dan Kuasa Rakyat,” PH berjanji untuk memperkasa kuasa rakyat dengan memastikan kebebasan Parlimen, mengawalselia pendanaan parti politik, dan menjamin pilihan raya yang adil dan saksama.

Di bawah tajuk kecil “Peruntukan Kawasan Sama Rata,” manifesto PRU15 PH ini juga dengan jelas menyatakan bahawa PH akan menyediakan Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) sama rata kepada semua wakil rakyat Parlimen tanpa mengira parti.

Mengikut manifesto PRU15 PH, peruntukan ini perlu disalurkan melalui Parlimen, bukan Pejabat Perdana Menteri (PMO). Oleh itu tindakan Kerajaan Perpaduan sekarang memberikan bermacam-macam syarat kepada Ahli-Ahli Parlimen PN yang disokong pula oleh Rusdi jelas bertentangan dengan komitmen PH terhadap prinsip kesamarataan dan keadilan yang dijanjikan dalam manifesto PH sendiri.

Pada 19 April 2024, Anwar sendiri menegaskan tiada syarat yang mewajibkan sokongan kepada Perdana Menteri bagi penyaluran peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Artikel Rusdi, yang menyokong penyaluran bersyarat, termasuk keperluan menyokong kerajaan hingga akhir penggal ke-15, jelas bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri yang telah berjanji untuk bersikap adil terhadap semua wakil rakyat tanpa mengira sokongan politik.

Tindakan Kerajaan Perpaduan dan tulisan Rusdi, selain jelas bercanggah dengan prinsip dan janji yang telah dinyatakan oleh PH dalam manifesto PRU15, juga sangat bertentangan dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin PH sendiri serta oleh pertubuhan masyarakat sivil seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Hassan Abdul Karim Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR pada 4 Januari 2023 menafikan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang adalah satu bentuk kezaliman terhadap rakyat yang telah memilih wakil mereka. Beliau menegaskan dana tersebut adalah untuk kepentingan rakyat, bukan untuk ahli politik, dan mesti diagihkan secara adil.

Pada 15 Februari 2023, Ahli Parlimen Kota Melaka dari DAP Khoo Poay Tiong turut menyuarakan bahawa kerajaan perlu berlaku adil dan memberikan peruntukan yang sama kepada pembangkang. Beliau malah mencadangkan penggubalan Akta Pembangunan Kawasan Parlimen untuk memastikan peruntukan diagihkan secara adil dan telus, tanpa mengira pertukaran kerajaan.

Hassan juga sekali lagi menyatakan pada 19 Ogos 2023 bahawa kegagalan PH dan BN mengagihkan peruntukan secara sama rata kepada semua wakil rakyat telah menyebabkan mereka dihukum dalam PRN. Beliau menegaskan keperluan untuk pemerintah berlaku adil kepada semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang, dan tindakan PH yang gagal menunaikan janji ini telah menjejaskan sokongan rakyat, khususnya di negeri-negeri dikuasai PN.

Pada 10 November 2023, Bersih menegur kepimpinan perdana menteri kerana masih belum menyalurkan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang, dan menegaskan bahawa peruntukan kawasan sepatutnya menjadi hak ahli parlimen tanpa syarat. Ini adalah pandangan yang selari dengan prinsip demokrasi dan hak rakyat.

Menyekat atau mengenakan syarat ketat bagi penyaluran peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen pembangkang adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi yang adil dan saksama. Ini akan menurunkan Indeks Demokrasi Malaysia kerana mencerminkan amalan politik yang tidak adil, diskriminasi terhadap wakil rakyat, dan pengabaian prinsip kesaksamaan dalam pentadbiran awam.

Mengamalkan sekatan terhadap peruntukan pembangkang mencerminkan politik sempit yang hanya akan merugikan rakyat. Kerajaan yang matang harus mengamalkan keterbukaan dan keadilan dalam pengurusan dana awam, bukan menggunakan peruntukan sebagai alat untuk memaksa sokongan politik.

Menyekat peruntukan kepada pembangkang mengabaikan prinsip keadilan sosial yang mana semua rakyat, tanpa mengira wakil politik mereka, berhak mendapat manfaat pembangunan. Ini bukan sahaja bertentangan dengan nilai-nilai demokrasi tetapi juga merosakkan imej kerajaan sebagai pentadbir yang adil dan saksama.

Secara keseluruhannya, artikel Rusdi tidak hanya bercanggah dengan manifesto dan kenyataan pemimpin PH sendiri, serta oleh pertubuhan masyarakat sivil, tetapi juga bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi, keadilan, dan hak rakyat yang sepatutnya dipegang oleh kerajaan.

Peruntukan kepada Ahli-Ahli Parlimen bukan untuk kegunaan mereka tetapi untuk membantu rakyat. Bila Kerajaan Perpaduan menyekat peruntukan kepada Ahli-Ahli Parlimen PN yang rata-ratanya mewakili masyarakat Melayu maka Kerajaan Perpaduan sebenarnya menghukum masyarakat Melayu dengan menafikan hak mereka untuk mendapat bantuan dan pembangunan.

Kerajaan Perpaduan perlu mengamalkan politik yang matang, telus, dan berprinsip untuk mengekalkan kepercayaan rakyat dan kestabilan politik di negara ini. Amalan sekarang akan membawa kekalahan kepada PH-BN dalam PRU16 kerana ia memperlihatkan kelemahan dalam menunaikan janji dan dalam bersikap adil terhadap semua rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Rakyat akan menghukum kerajaan yang dilihat zalim dan tidak menunaikan hak mereka melalui kertas undi mereka. Ini telah berlaku dalam PRN seperti yang dinyatakan oleh Hassan Abdul Karim dan akan berlaku dengan lebih kuat lagi dalam PRU 16.

Mohd Eikhwan M. Ali
Ketua Jabatan Penyelidikan & Pembangunan Dasar di Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)