Aiman Harith Zaharudin berjaya menamatkan pengajian ijazah kelas pertama Sarjana Muda Teknologi Maklumat bersempena Istiadat Konvokesyen ke-99 UiTM di Shah Alam baru-baru ini.

SHAH ALAM – Tingginya mungkin hanya 105 sentimeter dan pastinya itu bukanlah ketinggian normal seperti mana insan normal.

Namun bagi Aiman Harith Zaharudin, ia bukan alasan kenapa beliau tidak boleh berjaya dan membuktikannya selepas berjaya menamatkan pengajian ijazah kelas pertama Sarjana Muda Teknologi Maklumat bersempena Istiadat Konvokesyen ke-99 UiTM di Shah Alam baru-baru ini.

Lelaki berusia 25 tahun itu menyifatkan saiznya yang lebih kecil sebenarnya menjadi pembakar semangat untuk beliau buktikan bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk mencipta kejayaan dalam akademik.

“Saya melihat ilmu jurusan ini boleh membuka jalan kepada saya untuk memasuki ke alam pekerjaan yang kini banyak melibatkan teknologi tinggi,” kata Aiman dalam satu kenyataan.

Aiman Harith Zaharudin berjaya menamatkan pengajian ijazah kelas pertama Sarjana Muda Teknologi Maklumat bersempena Istiadat Konvokesyen ke-99 UiTM di Shah Alam baru-baru ini.

Aiman mengakui pernah dipersendakan dan beliau sendiri sudah lali dengan pandangan masyarakat sekeliling terhadap dirinya namun semasa di UiTM ramai rakan-rakan dan pensyarah serta pentadbir di UiTM yang banyak membantu hingga urusan pembelajaran dapat dijalankan.

“Saya anggap perkara itu biasa sahaja dan tidak pernah mengganggu fokus saya untuk sentiasa memperbaiki diri sendiri.

“Bahkan ibu bapa saya sentiasa memberikan sokongan yang kuat di belakang saya supaya terus sambung pengajian seperti orang biasa ke peringkat lebih tinggi,” katanya lagi.

Anak kedua daripada lima adik beradik itu merupakan graduan UiTM Cawangan Perlis yang memperoleh purata nilai gred kumulatif,(PNGK) 3.55 sekaligus membolehkan beliau
menamatkan pengajian dengan ijazah kelas pertama serta merupakan anak kelahiran Taiping dan kini menetap di Parit Buntar, Perak.

Aiman kini terlibat dalam Work Placement Programme (WPP) Maybank sebagai protege sejak bulan dua tahun ini.

Tambah menarik lagi, program tersebut turut melibatkan golongan istimewa seperti disleksia dan autisme.

Aiman berharap kerajaan membuka lagi banyak peluang pekerjaan untuk golongan istimewa sepertinya. – MalaysiaGazette