Syed Hussien Syed Abdullah.

KLUANG – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah berazam mahu meneruskan legasi kepimpinan Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

Ahli perniagaan berusia 40 tahun itu menyifatkan Allahyarham sebagai insan yang banyak berjasa kepada masyarakat DUN Mahkota sejak menjadi wakil rakyat.

Justeru, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang itu juga mahu memastikan kerusi tersebut kekal menjadi milik BN.

“Allahyarham sangat berjasa (kepada masyarakat) di kawasan ini dan saya selaku calon akan meneruskan apa (inisiatif dan kerja) yang dibuat beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon BN bagi PRK berkenaan di Command Center BN N29 Mahkota di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA, Datuk Dr Seri Wee Ka Siong, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi,Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday.

Dianggarkan lebih 5,000 jentera dan penyokong hadir bagi memberikan sokongan meskipun hujan.

Mengulas lanjut, , Syed Hussien yang sudah bersama-sama UMNO lebih 20 tahun itu sudah bersedia menggalas tanggungjawab mewakili suara rakyat di kawasan itu.

Beliau melahirkan penghargaan kepada pucuk pimpinan parti terutama Ahmad Zahid, Onn Hafiz dan Md Jais kerana memberikan kepercayaan kepadanya untuk meneruskan perjuangan parti di kawasan itu.

Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Seri Impian yang berkelulusan Professional Diploma in Business and Administration, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Space itu aktif dalam pelbagai kegiatan belia serta kesukarelawanan menerusi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mampu bertutur dalam bahasa Mandarin.

Kerusi DUN Mahkota kosong selepas penyandangnya Allahyarham DatukvSharifah Azizah Syed Zain, 64, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini pada 2 Ogos lalu.- MalaysiaGazette