Ismail Sabri Yaakob

SAYA menekuni tulisan Mohd Eikhwan M. Ali, Ketua Jabatan Penyelidikan & Pembangunan Dasar di Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) yang mengkritik artikel saya bertajuk “Tiada Sebab PN Persoal MoU Peruntukan Pembangkang”.

Bagi mengulasnya, saya boleh katakan Mohd Eikhwan perlu kefahaman yang lebih mendalam mengenai perbezaan antara Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajui oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kritikan yang dilemparkan oleh Mohd Eikhwan tidak mengambil kira realiti politik dan pentadbiran kedua-dua kerajaan ini yang mempunyai dinamik dan konteks yang sangat berbeza.

Profesor tak wajar pertahan sekatan peruntukan ahli Parlimen pembangkang

Pertama dari sudut perbezaan struktur dan keperluan sokongan antara Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Keluarga Malaysia. Kerajaan Keluarga Malaysia di bawah Ismail Sabri adalah sebuah kerajaan berkelebihan beberapa kerusi yang tidak stabil, dan bergantung kepada sokongan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) untuk kekal berkuasa.

Ini menyebabkan Ismail Sabri perlu berbuat apa sahaja untuk memastikan beliau memperolehi sokongan dari blok pembangkang ketika itu. Oleh itu, pemberian peruntukan kepada Ahli Parlimen PH oleh Kerajaan Ismail Sabri bukanlah suatu pilihan atau diasaskan kepada idealisme tetapi adalah satu keperluan untuk memastikan kelangsungan kerajaannya.

Sebaliknya, Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar adalah sebuah kerajaan yang stabil dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli-Ahli Parlimen di Parlimen. Ini bermakna Kerajaan Perpaduan tidak memerlukan sokongan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya, Ahli Parlimen PN yang memerlukan kerjasama dan bantuan daripada Kerajaan Perpaduan untuk terus relevan dan berfungsi dengan efektif. Di dalam erti kata lain, kini Ahli Parlimen PN yang bergantung harap kepada Kerajaan Perpaduan.

Dengan kedudukan yang stabil, Kerajaan Perpaduan tidak terikat untuk memenuhi segala permintaan pembangkang seperti Kerajaan Ismail Sabri.

Keduanya, Kerajaan Anwar bukan sekadar PH dan memerlukan konsensus gabungan politik kerana ia adalah gabungan beberapa pakatan politik termasuk PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Oleh itu, dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan tidak boleh hanya berlandaskan kepada Manifesto PRU15 PH semata-mata. Sebarang pelaksanaan manifesto mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan memerlukan konsensus semua pihak dalam gabungan ini.

Manifesto PH bukanlah satu-satunya dokumen yang mengikat Kerajaan Perpaduan kerana dasar-dasar perlu diselaraskan dengan pandangan dan keperluan setiap komponen gabungan. Oleh itu, mengaitkan memorandum persefahaman (MoU) Peruntukan Pembangkang dengan Manifesto PRU15 PH adalah sesuatu yang tidak betul.

PN sendiri dalam manifestonya semasa PRU 15 dan semasa PRN lalu banyak membuat janji manis tetapi banyak yang tidak dilaksanakan khususnya di negeri-negerinya. Waktu PN menguasai Kerajaan Persekutuan antara tahun 2020 ke tahun 2021 pun tidak ada reformasi yang dibuat.

Sudah diputuskan dalam satu kes mahkamah bahawa perlaksanaan Manifesto PRU adalah tidak wajib. Pada tahun 2013, Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa sesuatu manifesto PRU bukan sebuah dokumen yang mengikat di sisi undang-undang.

Dalam kes ini, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus membatalkan saman sivil yang difailkan oleh 2,020 ibu tunggal di Selangor berhubung pembayaran elaun RM100 kepada mereka seperti terkandung dalam manifesto PRU 12 PR.

Oleh itu, mengkritik Kerajaan Perpaduan atas alasan tidak menunaikan janji Manifesto PRU15 PH tanpa mempertimbangkan konteks gabungan Kerajaan Perpaduan serta sifat Manifesto PRU yang tidak mengikat di sisi undang-undang adalah sesuatu yang tidak adil.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Kota Melaka dari DAP, Khoo Poay Tiong, dan Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Abdul Karim, perlu difahami sebagai pandangan peribadi mereka, bukan sebagai pendirian rasmi parti mereka atau kerajaan.

Dalam Kerajaan Perpaduan, keputusan penting dibuat melalui konsensus rasmi yang tercapai antara wakil tertinggi parti-parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan dalam Sekretariat Kerajaan Perpaduan, bukan melalui pendapat individu Ahli Parlimen.

Pandangan daripada pertubuhan masyarakat sivil seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) juga perlu ditangani dengan teliti. Bersih kerap mengkritik tanpa memahami realpolitik, di mana kestabilan kerajaan bergantung kepada keseimbangan antara idealisme dan pragmatisme.

Walaupun prinsip keadilan dan kesaksamaan sangat penting, keutuhan dan kestabilan kerajaan memerlukan pendekatan yang pragmatik dan kadangkala tidak sesuai dengan pandangan idealis pertubuhan seperti Bersih.

Kritikan terhadap syarat-syarat untuk peruntukan kepada Ahli Parlimen PN menunjukkan kekurangan pemahaman terhadap keperluan dasar kerajaan untuk mengutamakan stabiliti dan kelangsungan.

Kerajaan Perpaduan perlu memastikan bahawa peruntukan yang disalurkan adalah untuk kepentingan rakyat dan bukan dijadikan alat politik oleh pihak pembangkang untuk meraih sokongan atau menentang kerajaan. Keutamaan ini selari dengan usaha kerajaan untuk membina negara yang lebih stabil dan sejahtera.

Mudahnya, kritikan yang dilemparkan oleh Mohd Eikhwan terhadap artikel saya tidak mengambil kira konteks sebenar Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar. Dengan latar belakang kerajaan yang stabil dan mempunyai sokongan majoriti, pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Perpaduan berbeza dengan kerajaan terdahulu.

Kritikan yang menyatakan bahawa Kerajaan Perpaduan menyongsang Manifesto PH adalah tidak berasas dan tidak mengambil kira realiti politik semasa. Kerajaan perlu dilihat sebagai entiti yang bekerja untuk keseluruhan rakyat Malaysia dan bukan sekadar untuk memenuhi kehendak satu kumpulan politik sahaja.

Prinsip kesaksamaan perlu ditafsirkan dalam konteks praktikal yang mencerminkan keperluan dan cabaran semasa, dan bukan semata-mata sebagai retorik politik.

Prof. Dr. Rusdi Omar, Dekan di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie, Universiti Utara Malaysia