Keadaan di lokasi tebing sungai Runtuh berhampiran kerja kerja pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Emas Puchong, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL. 08 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Air Selangor akan bekerjasama dengan Gamuda Berhad (Gamuda) untuk memberi maklumat lanjut berhubung insiden tanah runtuh di tapak pembinaan muka sauk Projek Skim Bekalan Air Rasau (Peringkat 1) dari semasa ke semasa.

Dalam kenyataan ringkas, Air Selangor turut mengesahkan kejadian yang berlaku di kawasan berkenaan.

Semalam, Gamuda dalam kenyataan berkata, ia telah menghentikan sementara semua kerja di projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau susulan tebing sungai runtuh menyebabkan limpahan air kolam memasuki bahagian hadapan tapak pembinaan projek itu di Taman Mas, Puchong, Selangor petang semalam.

Gamuda berkata, tindakan itu diambil bagi menilai keadaan dan melaksanakan protokol keselamatan tambahan.

“Semua pihak di tapak pembinaan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan pakar untuk menyiasat punca kejadian dan menentukan tindakan yang sesuai.

Keutamaan kami ialah keselamatan pekerja, orang awam dan alam sekitar, menurut Gamuda.

Syarikat itu juga mengesahkan tiada kecederaan dialami oleh pekerja pembinaan mahupun orang awam dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira 2 petang itu.

Runtuhan tebing sungai itu menyebabkan kawasan pembinaan projek loji rawatan air (LRA) itu tenggelam sedalam 19 meter.

Projek loji rawatan air bernilai RM4 bilion oleh Air Selangor itu akan menghasilkan tambahan bekalan air bersih 700 juta liter sehari menjelang akhir tahun depan. – MalaysiaGazette