Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris

IPOH – Polis akan meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan dan menangkap suspek warga Indonesia yang dipercayai terbabit dalam penemuan mayat bayi yang tertanam di bawah simen parkir sebuah rumah di Taman Sri Rokam, di sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, sehingga kini, siasatan berhubung kes tersebut masih diteruskan dan pihaknya masih menjejaki suspek terbabit.

“Kita tengah kenal pasti (lokasi suspek) dan masih belum buat pengesahan sama ada dia (suspek) sudah balik (ke negara asal) atau masih berada di Malaysia.

“Sehubungan itu, polis akan bekerjasama dengan agensi lain seperti imigresen ((Jabatan Imigresen Malaysia) selain menggunakan semua (kekuatan) risikan kita.

“Kalau kita kenal pasti subjek sudah balik (ke negara asal) kita akan menggunakan saluran diplomatik iaitu Interpol,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak bulan September 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, polis sedang mengesan seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai dapat membantu siasatan kes penemuan mayat bayi tertanam di bawah simen di parkir sebuah rumah di Taman Sri Rokam, di sini, pada 28 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang merupakan bakal penyewa rumah tersebut pada jam 12.15 tengah hari.

Beliau berkata, polis juga sudah merakam percakapan empat individu berhubung kes tersebut termasuklah lelaki yang menemui mayat dan pemilik rumah namun masih tiada tangkapan dibuat setakat ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast