Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok akan dipanggil ke Bukit Aman untuk diambil keterangan berhubung kenyataannya yang mendakwa sijil halal akan menambah beban peniaga dan memalukan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Teresa akan hadir pada jam 10 pagi untuk memberi keterangan di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Ada beberapa saksi lain juga akan dipanggil antaranya pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang akan ditentukan kemudian,” katanya secara ringkas ketika dihubungi.

Semalam, polis telah membuka kertas siasatan terhadap Teresa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Razarudin berkata, setakat ini pihaknya telah menerima lima laporan di seluruh negara berkaitan kenyataan itu.

Beliau juga memaklumkan, prosedur operasi standard (SOP) siasatan 3R (Raja, agama dan kaum) akan dijalankan selepas laporan polis diterima dan semua saksi akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan.

Tambahnya, laporan yang diterima polis adalah berikutan rasa ketidakpuasan hati individu termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Sebelum ini Teresa dilaporkan berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Menurutnya, langkah tersebut bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara. – MalaysiaGazette