KUALA LUMPUR – Cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan babi dan arak untuk mendapatkan sijil halal bertepatan dengan usaha untuk memastikan umat Islam lebih yakin dengan makanan yang dimakan, selain memastikan keselamatan makanan lebih terjamin.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, ini kerana mencari makanan yang halal merupakan kewajipan kepada setiap umat Islam.
Malah katanya, bukan arak dan babi sahaja haram di dalam Islam, bahkan sesuatu makanan itu dihukum haram sekiranya tidak menepati syariat Islam, seperti makan daging lembu yang tidak disembelih.
“Berdasarkan kajian Pertubuhan Kesihatan Dunia, satu daripada 10 manusia jatuh sakit akibat makan makanan tercemar. Realitinya, lebih 200 penyakit disebarkan melalui makanan tercemar ini.
“Maka, pensijilan halal ini bukan sahaja menjamin kehalalan suatu makanan tersebut, bahkan sudah pasti menjamin prosedur penyediaannya yang mementingkan kebersihan. Adakah Teresa tidak kisah dengan kualiti makanan yang dimakannya?” soalnya menerusi kenyataan di Facebook.
Mohamed Sukri berkata, hakikatnya, jaminan keselamatan makanan sudah pun dilakukan melalui pensijilan GMP, HACCP and ISO 22000.
Semua ini katanya, memerlukan kos, tetapi ia adalah prosedur yang perlu dipatuhi demi memastikan produk makanan yang dikilangkan menepati piawai.
Tambah beliau, halal bukan sekadar jaminan keselamatan terhadap makanan, tetapi ia merupakan identiti dan prinsip umat Islam itu sendiri.
“Dewan Pemuda Pas Selangor berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan terperinci mengikut Seksyen 298 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi menyiasat kebiadapan Teresa Kok mengganggu urusan umat Islam,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















