Gambar hiasan

SAYA memerhatikan perdebatan ilmiah antara Prof. Dr. Rusdi Omar, Dekan di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM), dengan Mohd Eikhwan  M. Ali, Ketua Jabatan Penyelidikan & Pembangunan Dasar di Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) mengenai isu Peruntukan Pembangkang. Di ruang ini saya tertarik untuk memberikan beberapa pandangan ke atas kenyataan Prof. Dr. Rusdi Omar.

Prof. Dr. Rusdi Omar menyatakan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sebuah kerajaan yang stabil dan tidak memerlukan sokongan Ahli Parlimen PN. Oleh itu ia tidak terikat untuk memenuhi segala permintaan pembangkang seperti Kerajaan Keluarga Malaysia di bawah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak stabil, tetapi pembangkang yang patut mengikutnya.

Jawapan 1: Kestabilan kerajaan bukan alasan Mengabaikan Prinsip Keadilan: Kestabilan kerajaan bukan alasan untuk menafikan peruntukan kepada pembangkang. Prinsip asas demokrasi menuntut agar semua wakil rakyat diberikan peruntukan yang sama bagi memastikan kebajikan rakyat di kawasan masing-masing terjaga, tanpa mengira parti politik. Kita harus menghargai pemberian peruntukan kepada Ahli Parlimen PH oleh Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri kerana ia bukanlah satu janji pilihan raya, tetapi dilaksanakan demi memastikan keseimbangan dan keadilan kepada semua wakil rakyat, tanpa mengira parti.

Sebaliknya, PH yang telah berjanji untuk melaksanakan pemberian peruntukan kepada semua ahli Parlimen dalam Manifesto PRU 15 kini gagal menunaikannya. Kerajaan Perpaduan diketuai oleh Perdana Menteri dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun, tindakan menafikan peruntukan kepada Ahli Parlimen PN menunjukkan bahawa kerajaan kini lebih cenderung kepada permainan realpolitik yang mengabaikan prinsip moral dan keadilan.

Meskipun Kerajaan Perpaduan tidak memerlukan sokongan Ahli Parlimen PN untuk memastikan kelangsungan kuasanya, ia tidak boleh mengamalkan realpolitik semata-mata kerana pendekatan ini akan menghancurkan idealisme perjuangan parti-parti politik yang menyokongnya.

Prof. Dr. Rusdi Omar menyatakan peruntukan pembangkang tidak boleh dikaitkan dengan Manifesto PRU15 PH kerana Kerajaan Anwar bukan sekadar PH dan dasar-dasar yang dilaksanakan olehnya memerlukan konsensus gabungan politik kerana ia adalah gabungan beberapa pakatan politik termasuk PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Jawapan 2: Janji Manifesto Adalah Komitmen Moral: Walaupun Kerajaan Perpaduan terdiri daripada gabungan beberapa pakatan politik, Anwar sebagai Perdana Menteri yang naik atas mantra reformis sepatutnya melaksanakan janji-janji manifesto PH PRU15, terutamanya kerana beliau adalah ketua kerajaan yang berkuasa berbuat apa sahaja malah tiada pakatan politik dalam Kerajaan Perpaduan yang mempersoalkan pelaksanaannya. Janji manifesto bukan sekadar dokumen politik tetapi juga komitmen moral kepada pengundi, dan kegagalan menunaikannya mencerminkan pengabaian tanggungjawab kepada rakyat. Dalam konteks ini, penting untuk mengekalkan integriti prinsip-prinsip demokrasi dan keadilan, bukan sekadar mempertahankan kedudukan politik.

Prof. Dr. Rusdi Omar menyatakan bahawa Manifesto PRU15 PH tidak perlu dilaksanakan kerana PN sendiri dalam manifestonya semasa PRU 15 dan semasa PRN lalu banyak membuat janji manis tetapi banyak yang tidak dilaksanakan khususnya di negeri-negerinya. Waktu PN menguasai Kerajaan Persekutuan antara tahun 2020 ke tahun 2021 pun tidak ada reformasi yang dibuat.

Jawapan 3: Perbandingan Dengan PN Adalah Tidak Relevan: Percubaan untuk menjustifikasikan kegagalan melaksanakan manifesto PH dengan merujuk kepada PN yang juga gagal melaksanakan janji-janji mereka tidak relevan kerana kesilapan satu pihak tidak boleh dijadikan alasan untuk mengulanginya. Kerajaan Perpaduan perlu menunjukkan contoh yang lebih baik dengan melaksanakan janji mereka, selaras dengan imej reformasi yang mereka anjurkan.

Tambahan pula, kritikan terhadap kegagalan Kerajaan-Kerajaan Negeri PN menunaikan sebahagian janji dalam Manifesto PN semasa PRU 15 dan PRN lalu tidak boleh dijadikan isu besar kerana banyak janji-janji ini memerlukan kelulusan atau sokongan dari Kerajaan Pusat. Apabila PN tidak menguasai Kerajaan Pusat, secara automatik beberapa janji tersebut tidak akan dapat dilaksanakan. Oleh itu, menuding jari kepada PN atas kegagalan PH melaksanakan janjinya adalah tidak adil dan tidak mengambil kira keseluruhan konteks politik dan pentadbiran.

Prof. Dr. Rusdi Omar menyatakan Manifesto PRU15 PH tidak perlu dilaksanakan kerana sudah diputuskan oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus di Mahkamah Rayuan pada tahun 2013 bahawa perlaksanaan Manifesto PRU adalah tidak wajib kerana sesuatu manifesto PRU bukan sebuah dokumen yang mengikat di sisi undang-undang.

Jawapan 4: Manifesto Sebagai Panduan Moral dan Tanggungjawab: Walaupun undang-undang menyatakan manifesto pilihan raya tidak mengikat secara undang-undang, janji yang tidak ditepati tetaplah satu perkara yang tidak bermoral dan bercanggah dengan ajaran agama. Sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Qur’an, Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Tepatilah segala janji.” (Surah al-Ma’idah, 5:1). Hadith Rasulullah SAW juga menegaskan, “Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga: apabila dia berkata, dia berbohong; apabila dia berjanji, dia mengingkari; dan apabila dia diberi amanah, dia khianat”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Oleh itu, melaksanakan janji manifesto adalah lebih daripada sekadar tanggungjawab politik; ia juga merupakan amanah moral yang perlu ditepati. Sebagai pemimpin, Anwar dan Kerajaan Perpaduan perlu berpegang kepada prinsip ini untuk mengekalkan kepercayaan rakyat.

Prof. Dr. Rusdi Omar menyatakan bahawa Manifesto PRU15 PH tidak perlu dilaksanakan kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Kota Melaka dari DAP, Khoo Poay Tiong, dan Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Abdul Karim, perlu difahami sebagai pandangan peribadi mereka. Keputusan penting Kerajaan Perpaduan dikatakan dibuat melalui konsensus rasmi dalam Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Jawapan 5: Suara Ahli Parlimen PH dan Masyarakat Sivil Tidak Boleh Diketepikan: Kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka dari DAP dan Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR tidak boleh dikatakan pandangan peribadi mereka kerana kenyataan mereka tidak pernah disanggah oleh pemimpin mereka. Ia juga adalah cerminan kepada aspirasi rakyat yang mereka wakili malah kepada kehendak ahli PH dan suara masyarakat sivil yang memperjuangkan keadilan. Pandangan ini perlu dihormati dan diambil kira dalam membuat keputusan.

Prof. Dr. Rusdi Omar menyatakan bahawa Manifesto PRU15 PH tidak perlu dilaksanakan kerana pertubuhan masyarakat sivil seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) kerap mengkritik tanpa memahami realpolitik, keutuhan dan kestabilan kerajaan memerlukan pendekatan yang pragmatik dan kadangkala tidak sesuai dengan pandangan idealis.

Jawapan 6: Realpolitik tidak boleh mengatasi prinsip moral dan demokrasi: Demokrasi yang sihat memerlukan imbangan antara pragmatisme dan idealisme. Kerajaan yang berterusan menggunakan realpolitik tanpa mempedulikan prinsip moral dan keadilan akan merosakkan asas demokrasi itu sendiri. Pertubuhan masyarakat sivil pula telah sekian lama memperjuangkan kesaksamaan dan integriti dalam pentadbiran kerajaan, dan kritikan mereka tidak harus dipandang remeh kerana mereka adalah antara penyokong utama PH sebelum ini.

Prof. Dr. Rusdi Omar menyatakan pemberian syarat-syarat ketat dalam pemberian peruntukan kepada Ahli-Ahli Parlimen PN diperlukan kerana Kerajaan Perpaduan perlu memastikan bahawa peruntukan yang disalurkan adalah untuk kepentingan rakyat dan bukan dijadikan alat politik oleh pihak pembangkang untuk meraih sokongan atau menentang kerajaan.

Jawapan 7: Peruntukan adalah untuk kepentingan rakyat, bukan alat politik: Menggunakan peruntukan sebagai alat politik untuk mengawal atau menghukum pembangkang bertentangan dengan tujuan asal peruntukan, iaitu untuk membantu rakyat di kawasan tersebut. Ini bukan sahaja tidak adil tetapi juga merosakkan keyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan. Tambahan pula, prosedur sedia ada mengenai penggunaan peruntukan itu memang akan memastikan ia disalurkan untuk kepentingan rakyat serta tidak disalahgunakan sebagai alat politik oleh pihak pembangkang.

Prof. Dr. Rusdi Omar menyatakan kritikan Kerajaan Perpaduan menyongsang Manifesto PH adalah tidak berasas dan tidak mengambil kira realiti politik semasa.

Jawapan 8: Realiti politik tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk ketidakadilan: Realiti politik tidak boleh digunakan untuk mengabaikan prinsip keadilan dan tanggungjawab kepada rakyat. Kerajaan yang baik sepatutnya berfungsi untuk memenuhi keperluan semua rakyat, bukan hanya penyokong mereka. Menafikan peruntukan kepada Ahli Parlimen PN bukan sahaja menzalimi wakil rakyat, tetapi juga menafikan hak-hak pengundi mereka yang telah memberi mandat kepada wakil tersebut.

Prof. Dr. Rusdi Omar menyatakan bahawa pemberian syarat-syarat ketat dalam pemberian peruntukan kepada Ahli-Ahli Parlimen PN diperlukan kerana Kerajaan perlu dilihat sebagai entiti yang bekerja untuk keseluruhan rakyat Malaysia dan bukan sekadar untuk memenuhi kehendak satu kumpulan politik sahaja.

Jawapan 9: Syarat ketat tidak sepatutnya mengecualikan peruntukan: Syarat-syarat ketat dalam memorandum persefahaman (MoU) tidak diperlukan untuk memastikan bahawa kepentingan keseluruhan rakyat Malaysia terjaga. Sebaliknya, pengenaan syarat-syarat ketat ini mencerminkan sikap tidak adil dan boleh dilihat sebagai diskriminasi politik kerajaan, yang menggunakan peruntukan untuk memenuhi kehendak kumpulan politiknya sendiri dengan mencabuli hak rakyat untuk diwakili dengan baik oleh Ahli Parlimen pilihan mereka.

Prof. Dr. Rusdi Omar menyatakan bahawa prinsip kesaksamaan perlu ditafsirkan dalam konteks praktikal yang mencerminkan keperluan dan cabaran semasa, dan bukan semata-mata sebagai retorik politik.

Jawapan 10: Prinsip kesaksamaan tidak boleh ditafsir Mengikut keperluan semasa: Prinsip kesaksamaan adalah asas demokrasi yang tidak boleh diubah mengikut situasi. Ia harus ditegakkan tanpa kompromi kerana, dalam apa jua keadaan, menafikan peruntukan kepada pembangkang tetaplah satu bentuk ketaksamaan dan diskriminasi yang merosakkan kepercayaan terhadap keadilan kerajaan.

Sebagai kesimpulannya, Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu kembali kepada prinsip-prinsip asas demokrasi keadilan, dan kesaksamaan yang telah mereka janjikan kepada rakyat, dan tidak terjebak dalam permainan realpolitik yang merugikan kepentingan rakyat dan mencemar integriti kerajaan.

Anwar dan Kerajaan Perpaduan perlu sedar bahawa mereka kehilangan kedudukan moral tinggi (moral high ground) untuk bercakap mengenai hak asasi manusia di peringkat antarabangsa apabila mereka gagal menegakkannya di dalam negara sendiri. Adalah memalukan bagi Anwar yang sering lantang melaungkan perjuangan menegakkan hak asasi di peringkat antarabangsa tetapi gagal melaksanakannya di negara sendiri.

Sebaliknya, Kerajaan-Kerajaan Negeri yang diterajui oleh PN memiliki kedudukan moral tinggi (moral high ground) untuk bercakap mengenai hak asasi manusia ini kerana mereka memberikan peruntukan tanpa syarat kepada ADUN-ADUN PH dan BN di negeri-negeri mereka yang menunjukkan komitmen mereka kepada prinsip keadilan walaupun berbeza ideologi politik tidak sepertimana PH dan BN yang gagal berbuat demikian.

Tindakan menafikan peruntukan kepada Ahli-Ahli Parlimen PN adalah satu kezaliman yang perlu dihentikan segera. Kerajaan Perpaduan perlu bergerak ke hadapan dengan memastikan bahawa idealisme reformasi yang dilaungkan sejak tahun 1998 dahulu dikekalkan dalam setiap tindakan dan dasar yang diambil olehnya. Rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang adil, saksama, dan memegang janji-janjinya dengan integriti dan kejujuran.

Dalam hal ini, tidakkah pendapat-pendapat ahli akademik yang biased serta cukup menyongsang daripada neraca keilmuan, kebenaran, kejujuran, akujanji dan prinsip asas demokrasi ini menghampiri simptom Profesor Kangkung yang sering dilabelkan oleh rakyat?

Dr. Mukhtaruddin Musa, ialah Pengarah Bahagian Penyelidikan Yayasan Strategik Lestari (YSL).