Allahyarham Muhammad Mustafa

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit bagi penggal 2008-2013, Muhammad Mustafa meninggal dunia malam tadi.

Muhammad menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 11.10 malam di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM), Kubang Kerian, Kelantan.

Perkhabaran duka itu dikongsi Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin menerusi hantaran di Facebooknya.

“Insya-Allah, solat jenazah akan diadakan pada jam 10 pagi (ini) di Masjid Al Huda, Kampung Huda Kubang Kerian.

“Satu kehilangan yang besar tidak hanya buat keluarganya bahkan juga buat seluruh rakyat Kelantan yang telah mendapat manfaat daripada ilmu dan khidmatnya,” katanya.

Allahyarham merupakan bekas Senator Dewan Negara (2017-2020), ADUN Demit (2008-2013) dan Ahli Parlimen Ketereh (1999-2004).

Sementara itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Beliau menyifatkan Allahyarham seorang sahabat yang baik dan mendoakan keluarganya dikurniakan kekuatan, serta mendoakan agar rohnya diampunkan segala dosa dan diberi tempat teristimewa di-Sisinya. – MalaysiaGazette