Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana SRC International tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 31 JULAI 2024

KUALA LUMPUR – Prosiding hujah akhir kes penyelewengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) sebanyak RM2.3bilion  membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan berikutan bekas Perdana Menteri itu dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat sakit lutut.

Perkara itu dimaklumkan oleh perunding kanan ortopedik HKL,Dr Siti Hawa Tahir.

Beliau berkata, Najib telah diberikan surat cuti sakit selama dua hari bermula hari ini dan esok kerana kesan ubat yang boleh menyebabkan tertuduh mengantuk.

Kata doktor itu, situasi tersebut akan menyebabkan Najib tidak boleh mengikuti prosiding itu.

“HKL mula memberi ubat penahan sakit analgesik kepada Najib kerana dia sensitif terhadap ubat tertentu,” katanya di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, hari ini.

Berikutan itu, Collin menetapkan prosiding disambung Khamis ini sambil mengingatkan tarikh akhir hujahan lisan ialah pada 4 Oktober depan. -MalaysiaGazette