PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan, di sini, menolak permohonan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown yang diperintahkan untuk membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 memfitnah Sultanah Nur Zahirah.
Turut membuat rayuan itu ialah penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan syarikat pencetakan Vinlin Press Sdn Bhd selepas mahkamah mendapati ketiga-tiga mereka memfitnah melalui buku ‘The Sarawak Report – The Inside Story of the 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Expose’.
Tiga panel hakim yang dipengerusikan Tan Sri Nallini Pathmanathan sebulat suara memutuskan untuk menolak rayuan tersebut selepas mendapati ketiga-tiga perayu gagal memenuhi syarat bahawa terdapat isu baharu yang perlu diputuskan dan ia adalah kes berkepentingan awam.
Kata Nalini, analisis tatabahasa telah dijalankan bagi menentukan sama ada perkataan yang dipertikaikan, adalah memfitnah.
“Buku tersebut mengandungi asas penting pendedahan 1MDB, walaupun mahkamah ini melihat kepentingan buku itu tidak boleh diremehkan namun pada masa sama ia tidak memberikan apa-apa kekebalan kepada penulis kerana terdapat fitnah terhadap pihak ketiga.
“Dalam konteks ini, semua pihak adalah sama rata di sisi undang-undang dan tertakluk kepada layanan sama rata oleh mahkamah,” katanya yang turut bersidang bersama Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.
Kata Nalini, Sultanah Nur Zahirah adalah ahli keluarga diraja namun itu tidak menghalangnya daripada membawa tuntutan di mahkamah.
“Layanan yang sama mahkamah akan berikan kepada mana-mana orang awam. Fakta latar belakangnya tidak sepatutnya dipertikaikan, kerana semua adalah sama di sisi undang-undang,” ujarnya.
Pada 21 November 2018, Sultanah Terengganu itu memfailkan saman terhadap ketiga-tiga pihak terbabit atas dakwaan kenyataan dalam buku itu antara lain bermaksud baginda terbabit rasuah dan campur tangan dalam pentadbiran kerajaan Terengganu.
Dakwaan dalam buku itu juga membawa maksud baginda menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya dikenali sebagai 1MDB.
Sultanah Nur Zahirah menuntut ganti rugi am RM100 juta daripada setiap responden dan perintah supaya penerbit menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah serta pencetak berhenti mencetak buku tersebut. – MalaysiaGAzette