Laluan menghala Jambatan Pulau Pinang sesak susulan kerja-kerja pembersihan lokasi kemalangan sedang dilakukan.

Pada 1 April 2024, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan kerja pembinaan projek LRT Laluan Mutiara disasarkan bermula tahun ini dan dijangka memerlukan tempoh masa kira-kira enam tahun untuk disiapkan serta beroperasi pada tahun 2030.

Manakala baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyatakan Pulau Pinang merupakan antara negeri yang  berhasrat untuk menjadi penganjur bersama temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) 2027.

Kedua-dua berita ini merupakan berita gembira untuk rakyat Pulau Pinang, tetapi secara peribadi saya merasakan ia merupakan satu berita yang boleh menyebabkan saya tidak dapat tidur malam dan sangat menggerunkan.

Saya sebenarnya amat berbangga dengan pencapaian hebat Pulau Mutiara selama ini daripada segi ekonomi, politik, sosial dan Pendidikan.

Pencapaian ini adalah hasil pentadbiran yang baik oleh pengurusan dan kepimpinan kerajaan negeri sehingga Pulau Pinang dinobatkan sebagai salah satu daripada lima negeri terkaya di Malaysia.

Namun, terdapat satu perkara yang amat mengecewakan saya sebagai penduduk negeri ini, iaitu pengurusan jalan raya yang tidak banyak berubah sejak saya berpindah ke Pulau Pinang 11 tahun yang lalu.

Pernahkah kita terfikir kenapa sering berlaku kesesakan lalu lintas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang menuju ke Sungai Dua, terutamanya di hadapan kawasan perindustrian Bayan Lepas pada waktu pagi dan sebaliknya dari Sungai Dua ke Bayan Lepas pada waktu petang.

Pernahkah sesiapa melalui Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan keluar ke Batu Kawan menuju ke  Bukit Tambun dan seterusnya ke Simpang Ampat selepas jam 5.30 petang?

Mereka yang sering melalui jalan-jalan ini pasti memahami betapa peritnya menghadapi kesesakan jalan raya yang berlaku setiap hari.

Jawapan kepada semua persoalan itu adalah lampu isyarat.

Pada pandangan saya pembinaan taman-taman perumahan baharu, terutamanya rumah-rumah pangsa yang tinggi juga merupakan salah satu punca kepada masalah kesesakan di negeri ini.

Bayangkan, jika sebuah bangunan mempunyai 20 tingkat. Setiap tingkat mempunyai 10 buah rumah, jadi sebuah rumah pangsa mempunyai 200 buah rumah.

Jika setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya sebuah kereta, sebanyak 200 buah kereta akan menggunakan jalan di kawasan itu.

Setiap jalan masuk kawasan perumahan ini diletakkan lampu isyarat. Akibatnya, lebih banyak rumah, kereta bertambah, lampu isyarat bertambah dan lebih teruklah kesesakan yang dihadapi penduduk di negeri ini.

Jadi, apakah penyelesaian yang ada? Seawal jam 5.30 pagi, rakyat negeri ini bersesak-sesak keluar dari rumah untuk mengelakkan diri daripada terperangkap dalam kesesakan.

Pada waktu petang, sekurang-kurangnya satu jam hingga dua jam terbuang kerana terpaksa menghadapi kesesakan jalan raya.

Projek mega pembinaan LRT mungkin akan memudahkan rakyat apabila siap pada tahun 2030, tetapi sepanjang tempoh pembinaannya selama enam tahun, saya percaya rakyat akan terus terbeban dengan kesesakan lalu lintas yang akan bertambah teruk akibat kerja-kerja pembinaan.

Penganjuran Sukan SEA pula memerlukan banyak persiapan dari sekarang dan akan menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini, sekali gus menambahkan lagi masalah kesesakan jalan raya.

Cadangan saya ialah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersama kerajaan negeri berusaha untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang serius ini terlebih dahulu sebelum memulakan kedua-dua projek berkenaan.

Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan adalah mengurangkan atau menghapuskan terus penggunaan lampu isyarat yang tidak lagi relevan dengan perkembangan masa kini yang mempunyai pelbagai pembaharuan untuk mengurangkan masalah kesesakan ini.

Contohnya di kawasan Parlimen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perak. Bermula dari susur keluar lebuh raya Utara Selatan hingga ke Tambun, pengguna jalan raya tidak perlu berhenti di mana-mana lampu isyarat kerana sistem u-turn yang telah diperkenalkan.

Sistem ini pada mulanya dirasakan menyusahkan, tetapi ia sebenarnya lebih efisien kerana perjalanan menjadi lebih lancar dan cepat serta kesesakan lalulintas di kawasan itu dilihat telah berkurangan.

Kaedah ini juga daripada satu segi adalah langkah yang menjimatkan kerana tidak perlu keluarkan kos untuk menyelenggara lampu isyarat.

Dari segi kewangan, saya yakin Pulau Pinang tidak menghadapi masalah kerana negeri ini terkenal dengan kewangannya yang kukuh dan bebas daripada hutang.

Apa yang penting kini adalah usaha PBT dan kerajaan negeri untuk mengkaji situasi lalu lintas di negeri ini, mengenal pasti kawasan-kawasan yang terkenal dengan kesesakan, membuat perancangan yang baik dan mencari mekanisme yang sesuai untuk mengatasinya.

Tolong jangan biarkan kami menghadapi masalah kesesakan ini begitu sahaja.  Kasihan kepada kami yang terpaksa berhadapan dengan keadaan ini setiap hari.

Dan tolong jangan salah anggap, saya bukan menentang projek LRT atau penganjuran Sukan SEA di negeri ini.

Saya mengalu-alukannya, tetapi mengharapakan agar kerajaan negeri akan memberikan perhatian kepada masalah kami.

Pengerusi Rancangan Pra Siswazah Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr B. Rani Ann.

Dr. B. Rani Ann,

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM).

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast