Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hadir ke balai untuk dirakamkan keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya berkait isu sijil halal yang didakwa membebankan peniaga ketika di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mencabar Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok untuk menyaman beliau di mahkamah berhubung isu pensijilan halal.

Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu  tidak gentar dengan ancaman yang dibuat oleh Teresa.

Dalam satu perkongsian video hampir 30 saat di media sosial, Dr. Muhammad Akmal tidak akan menyerah kalah dan bersedia untuk berhadapan dengan Ahli Parlimen Seputeh itu di mahkamah.

“Bismillahi Rahmani Rahim, Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Hari ini bila Teresa Kok dipanggil ke ibu pejabat polis tadi, dia keluarkan satu kenyataan bahawa dia kata, dia nak mempertimbangkan, nak saman saya di mahkamah

“Saya nak beritahu kepada Teresa Kok bring it on, I ‘am not afraid, no fear, no surrender. Kita jumpa di mahkamah,” kata Dr. Muhamad Akmal ringkas.

Media hari ini melaporkan, Teresa sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Dr Muhamad Akmal susulan kenyataan balas beliau berkait isu pensijilan halal, termasuk mahu ‘logo tidak halal’ ditampal pada dahi pemimpin DAP berkenaan.

Teresa  sedang mendapatkan nasihat undang-undang daripada barisan peguamnya berhubung perkara terbabit.

“Saya akan berbincang dengan peguam saya (sekali lagi) selepas sesi ini,” katanya kepada pemberita setelah memberi keterangan di Bukit Aman hari ini.

Dr Muhamad Akmal sebelum ini menempelak tindakan Teresa yang dilaporkan mendakwa cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan hanya menambah beban terhadap peniaga.

Menyifatkan Ahli Parlimen Seputeh itu sebagai ‘nyonya tua’, Dr. Muhamad Akmal berkata, Teresa tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal.

“Pertama saya nak bagi tahu pada nyonya tua ini, sijil halal ini bukan sahaja arak dan babi tapi sijil ini merangkumi bagaimana dia (peniaga) nak sediakan (makanan), bagaimana sumber (perniagaan) tu dapat.

“Jadi ini adalah aturan yang telah ditetapkan dan saya nak bagi tahu juga nyonya tua ini bahawa sijil halal ini dulu berbulan-bulan nak dapat. Hari ni kita dah dapat pendekkan kepada 23 hari saja dah boleh dapat sijil halal.

“Jadi apa masalah kamu dengan sijil halal ini?” soal Dr. Muhamad Akmal dalam satu rakaman video yang dimuatnaik di TikTok.

Teresa hari ini hadir ke Bukit Aman bagi memberi keterangan berkaitan kenyataan pensijilan halal dikatakan membebankan peniaga di Malaysia.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here