KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan reman seorang bekas pegawai eksekutif sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana disyaki menyalahgunakan jawatan untuk menyokong pelantikan syarikat milik suaminya bagi mendapatkan kontrak pembekalan pekerja berjumlah kira-kira RM1.4 juta.
Perintah reman selama enam hari sehingga 15 September 2024 terhadap suspek wanita berusia lingkungan 40-an dikeluarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, pagi tadi.
Dalam pada itu, seorang lagi suspek wanita berusia lingkungan 50an yang merupakan pemilik syarikat turut ditahan namun, dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Sumber berkata, kedua-dua suspek ditahan antara pukul 2.30 dan 3.50 petang semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu.
“Suspek utama dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2019 dengan menggunakan jawatannya bagi mencadang dan menyokong syarikat milik suaminya untuk mendapatkan kontrak pembekalan pekerja berjumlah kira-kira RM1.4 juta.
“Suspek juga dipercayai bersubahat bersama suspek kedua mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu membabitkan ujian saringan Covid-19 berjumlah kira-kira RM2,000 pada tahun 2022 sedangkan ujian tersebut tidak dilaksanakan.
“Pada tahun 2023, suspek utama juga disyaki bersubahat mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu membabitkan pembekalan barangan plastik berjumlah kira-kira RM2,000 sedangkan barangan tersebut tidak dibekalkan,” kata SPRM dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 dan 18 Akta SPRM 2009 dan tidak menolak kemungkinan bahawa beberapa tangkapan susulan akan dibuat. – MalaysiaGazette