KOTA BHARU – Sebanyak 5,000 kilogram (kg) karkas babi bernilai RM205,000 telah dirampas di Jalan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, di sini, 3.15 pagi semalam.
Rampasan dilakukan sepasukan anggota daripada ibu pejabat dan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Taring Chiller.
Menurut Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, pihaknya telah menemui sebuah lori dalam keadaan mencurigakan ketika sedang melakukan rondaan.
“Pemeriksaan lanjut terhadap lori jenis Mitsubishi itu telah menjumpai lebih 5,000 kg karkas babi yang dipercayai diseludup dari Thailand tanpa sebarang dokumen yang sah.
“Turut ditahan seorang suspek lelaki berusia 62 tahun yang disyaki merupakan penghantar binatang terbabit ke pasaran tempatan,” katanya.
Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM204,800 dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
“Kesemua barang rampasan, termasuk suspek telah diserahkan ke Balai Polis Pengkalan Chepa untuk tindakan selanjutnya,” tambahnya.
PGA akan terus komited untuk mempergiatkan usaha mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara. – MalaysiaGazette