Dari kiri (depan), Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan Dr Maisarah Ahmad menunjukkan dokumen MoU yang dimeterai antara MARDI dan IDR hari ini.

SERDANG – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Institut Darul Ridzuan (IDR) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sempena Pertanian, Hortikultur dan AgroPelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Pavilion Rumah Negeri Perak, MAEPS, Serdang.

Memorandum ini bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam bidang pembangunan usahawan tani dan perkongsian analitik data.

Perjanjian ini menandakan langkah penting dalam memajukan sektor pertanian melalui penggunaan teknologi moden serta
pembangunan kapasiti usahawan tani di negeri Perak.

Kerjasama ini dijangka membuka jalan untuk pelaksanaan penyelidikan bersama, pemindahan teknologi, serta menyediakan khidmat nasihat teknikal yang dapat memperkasakan masyarakat tani dengan teknologi pertanian yang cekap dan berdaya saing.

IDR selaku badan pemikir negeri Perak akan memainkan peranan penting dalam menyelaraskan strategi pembangunan sosio-ekonomi negeri melalui inisiatif berimpak tinggi, manakala MARDI akan menyumbang kepakaran teknikalnya dalam memacu kemajuan industri pertanian.

Memorandum ini juga akan membina asas untuk kolaborasi lebih erat dalam bidang penyelidikan dan pengembangan sektor pertanian, yang merupakan salah satu tunjang penting dalam usaha negeri Perak mencapai matlamatketerjaminan makanan selaras dengan salah satu agenda utama Pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu agenda Sekuriti Makanan.

Majlis Pertukaran MoU disempurnakan oleh Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani, Ketua Pengarah MARDI dan Dr. Maisarah Ahmad, Ketua Eksekutif Institut Darul Ridzuan disaksikan oleh Datuk Mohd Zolkaply Harun, Pengerusi Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, dan Industri Makanan Negeri Perak.

Dengan termeterainya MoU ini, ia menunjukkan komitmen kedua-dua institusi untuk merealisasikan pembangunan ekonomi yang dinamik, inklusif dan mampan di negeri Perak melalui sektor pertanian. – MalaysiaGazette