Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas mendakwa kenyataan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berhubung pensijilan halal seolah-oleh memberi gambaran salah terhadap Islam.

Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga mendakwa, kenyataan Teresa turut memberi gambaran seolah-olah pengamalan Islam di negara ini merupakan ancaman kepada bukan Islam.

“Sebagai ahli politik veteran, YB Teresa Kok seharusnya sedar, kenyataan itu memberi gambaran yang salah terhadap Islam dan pentadbiran Islam di negara ini, khasnya mengenai kedudukan dan kebebasan orang bukan Islam dalam kerangka tersebut.

“Dengan menimbulkan gambaran bahawa pelaksanaan (cadangan) persijilan halal di restoran dan kedai makan melanggar hak dan kebebasan orang bukan Islam, YB Teresa Kok turut memberi gambaran seolah-olah pengamalan Islam di negara ini merupakan ‘ancaman’ kepada mereka.

“Ini sudah tentulah suatu gambaran yang tidak bertanggungjawab, tersasar dan kelihatan bertujuan memecah-belah,” kata Takiyuddin dalam kenyataan.

Menurut beliau, jika diteliti adalah jelas bahawa cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hanya berkait dengan orang Islam iaitu hak penganut agama itu untuk menikmati makanan yang disahkan halal dan juga hak untuk tidak diberi gambaran salah mengenainya.

Dengan kata lain menurut Takiyuddin, restoran dan kedai makan milik bukan Islam tidak seharusnya menerima pengunjung beragama Islam ke premis mereka tanpa sijil halal dan tidak juga dibenarkan “memberi gambaran” bahawa produk yang ditawarkan “boleh dinikmati oleh orang Islam”.

“Kes-kes semasa berkait keadaan ini banyak berlaku sehingga menimbulkan isu kebolehpercayaan dan syak wasangka dalam kalangan rakyat.

“Walaupun Pas bersetuju bahawa orang Islam harus lebih prihatin dalam pilihan mereka, namun kerajaan juga ada peranannya dalam memastikan keadaan itu lebih terkawal.

“Selain itu, Pas juga percaya pemilik restoran dan kedai makan juga bertanggungjawab menyediakan maklumat yang jujur dan lengkap mengenai produk dan perkhidmatan yang disediakan kepada pelanggan mereka, terutama sekali dalam isu halal-haram,” kata Takiyuddin.

Tambah beliau, Pas percaya Teresa tidak bertindak mengikut pertimbangan yang wajar dan objektif sebaliknya lebih dipengaruhi oleh emosi dan sentimen untuk tujuan-tujuan politik kepartian dan peribadinya sendiri.

Sementara itu Takiyuddin berkata, sebagai ahli Parlimen penyokong kerajaan Teresa sepatutnya sedar bahawa semua dasar baharu kerajaan harus melalui proses yang teratur dan panjang termasuk mendapat kelulusan Kabinet yang turut dianggotai oleh DAP.

Oleh kerana cadangan masih berada pada peringkat kajian JAKIM, adalah lebih munasabah dan sopan sekiranya Teresa memanfaatkan saluran dalaman kerajaan sama ada untuk membantah, memberi cadangan balas mahupun mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara isu ini.

Teresa sebelum ini menegaskan kenyataan dibuat berhubung isu pensijilan halal adalah maklum balas terhadap cadangan yang dibangkitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.

Naib Pengerusi DAP itu berkata, kenyataannya  pada 6 September lalu  hanya untuk menyuarakan pendapat untuk pihak Jakim mengkaji semula cadangan tersebut.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here