Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap pada Perasmian Pra Muktamar Dewan Pemuda PAS di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2024

TEMERLOH – Pas dan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh bergantung kepada undi pengundi Melayu semata-mata untuk menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU16).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas perlu segera mengadakan muafakat baharu di negeri-negeri lain antaranya Sabah dan Sarawak.

“Kita harus akui kelemahan kita yang perlu diatasi di kawasan yang bukan Melayu, dan kawasan-kawasan di selatan tanah air, apatah lagi di Sabah dan Sarawak. 

“Kita juga perlu mendapatkan rakan-rakan politik di Sabah dan Sarawak dan melihat kerjasama luar politik dengan NGO, dan badan-badan bukan kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas kali ke 65 yang diadakan di Kerdau, Temerloh, malam tadi.

Justeru itu, Tuan Ibrahim menggesa agar Pemuda Pas segera melibatkan diri dengan masyarakat bukan Islam bagi mendepani cabaran PRU16 kelak bagi merealisasikan impian untuk memerintah Putrajaya selepas PRU16.

“Pemuda Pas juga perlu perbanyakan penglibatan dengan masyarakat bukan Islam. 

“Ini boleh dilakukan dengan membuat rombongan membawa mereka ke Kelantan, Terengganu, Kedah Perlis (negeri-negeri yang diterajui Pas),” katanya lagi.

Tuan Ibrahim berkata, langkah itu perlu dilihat bagi pembinaan kelompok muafakat politik baharu.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, keputusan Pas Pusat memilih negeri Pahang untuk mengadakan Muktamar kali Ke-70 tahun ini sebagai isyarat  serius untuk parti itu menawan negeri ini setelah empat negeri lain iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Muktamar kali ini kita buat di Kerdau, Pahang, ia sebagai isyarat Pahang sedia bersama-sama dengan empat negeri  ditadbir Pas untuk  kita terajui dan ambil alih pentadbiran pada PRU16.

“Pas menang 43 Parlimen dan 105 DUN, bagaimanapun kita kena fokus kepada gerak kerja kita untuk cabaran mendatang, kita jangan lena dengan kejayaan itu, kejayaan kita hari ini (menang banyak kerusi) hasil benih yang di tanam 10,20 tahun dahulu dan benih yang kita tanam hari ini akan nampak hasil pada 10,20 tahun akan datang,” katanya lagi.

Selain Pahang, Perak dan Selangor juga antara negeri yang menjadi sasaran parti itu para pilihan raya akan datang, selain menambah kerusi di negeri  lain. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here