KUALA LUMPUR – Semua produk makanan dan minuman yang mengandungi gula akan dikeluarkan daripada senarai Jualan Rahmah.
Itu adalah satu usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengurangkan pengambilan gula bermula 1 Oktober ini.
Menurut timbalan menterinya, Fuziah Salleh, tindakan itu selari dengan kempen ‘Jom Kosong’ yang dilancarkan pihaknya bersama pemain industri makanan lain untuk menyokong kempen Perangi Gula yang diterajui Kementerian Kesihatan (KKM).
“Jualan Rahmah sebelum ini memberi diskaun sebanyak 10 hingga 30 peratus tetapi untuk barangan susu pekat manis selepas ini tidak lagi akan menerima diskaun.
“Ini merupakan satu usaha daripada KPDN melalui Jualan Rahmah,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Kempen Perangi Gula ‘Jom Kosong Lebih Murah’ di Damansara City Mall hari ini.
Pihaknya juga bersetuju dengan langkah KKM yang memperkenalkan gred dalam peket makanan terutama makanan yang mempunyai kandungan gula sangat tinggi.
“Kami ada beberapa strategi untuk memerangi isu perangi gula dan untuk gred makanan, kami akan bersetuju apabila dibentangkan nanti.
“Kempen ini juga merupakan pendekatan kerajaan kepada pengguna supaya mereka mendapat kesedaran tentang kandungan gula yang dalam makanan harian mereka,” tambahnya.
Untuk program itu, KPDN menjadi kementerian pertama menyahut cabaran kempen kurang gula susulan pelancaran kempen Celik Kesihatan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kami mengajak semua termasuk rakyat Malaysia untuk sahut cabaran PM dan menjalani gaya hidup cergas untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang sihat,” ujarnya. – MalaysiaGazette