Logo Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Selangor. Ihsan Foto : Facebook ABIM Selangor

KUALA LUMPUR – Kerjasama orang ramai diperlukan untuk memantau dan mengekang individu atau organisasi yang disyaki menyebarkan ajaran sesat di media sosial.

Menurut Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Selangor, Ahmad Fahmi Adzha Mohd Nasarudin, pihaknya mengambil serius dan mengecam sebarang gerakan penyelewengan akidah yang boleh memecah belahkan umat Islam.

“Sebagai organisasi yang menjunjung tinggi nilai-nilai keimanan dan kesatuan umat, kami risau perkara ini akan mempengaruhi nilai kefahaman beragama umat Islam di negara ini.

“Sehubungan dengan itu, kami menyeru orang ramai untuk berganding bahu menjaga ketenangan awam supaya tiada sebarang maklumat yang diragui sumbernya tersebar dan sekaligus mencetuskan kegusaran masyarakat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Ikatan silaturrahim penting dalam mengukuhkan perpaduan umat untuk menghadapi cabaran dan ancaman terhadap akidah.

“Justeru itu, ABIM Selangor memberikan sokongan terhadap inisiatif yang diambil oleh pihak berkuasa seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memulihara dan mengukuhkan akidah umat Islam.

“Hal ini penting untuk mengekang penularan sebarang pengaruh ajaran sesat daripada berleluasa dan menjadi wabak kepada umat,” tambahnya.

ABIM Selangor berharap supaya isu ini dapat diselesaikan dengan cekap dan adil demi memelihara keharmonian umat Islam. – MalaysiaGazette