Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Prosiding hujah akhir penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) ditangguhkan sekali lagi untuk dua hari memandangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih sedang menerima rawatan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pada prosiding hari ini, dimaklumkan Najib masih lagi sakit lutut selain mengalami rasa mengantuk berikutan kesan daripada ubat-ubatan yang diberikan kepadanya.

Menurut perunding kanan ortopedik HKL, Dr Siti Hawa Tahir, bekas Ahli Parlimen Pekan, 71, itu masih lagi cuti sakit selama dua hari dan tidak sihat sepenuhnya untuk hadir prosiding mahkamah.

“Kesan ubat itu boleh menyebabkan pesakit mengalami rasa mengantuk dan loya. Beliau juga berdepan dengan isu ‘apnea tidur’, jadi kami (HKL) perlu mengawasinya ketika sedang tidur,” katanya di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Untuk makluman, apnea tidur atau merupakan gangguan tidur yang melibatkan perhentian bernafas atau tempoh pernafasan pendek semasa tidur yang berlaku lebih kerap daripada biasa.

Dalam pada itu, peguam yang mengetuai pasukan pembelaan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang melawat Najib di HKL semalam juga mengesahkan situasi berkenaan kepada mahkamah.

“Beliau tertidur ketika sedang membaca buku, ini bukan beliau kerana dirinya seorang yang begitu segar, peka,” ujarnya.

Mahkamah melapangkan dua hari lagi iaitu hari ini dan esok dan prosiding akan bersambung pada Selasa depan, 17 September.

Najib ketika ini sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM2.27 bilion dana 1MDB. – MalaysiaGazette

Bicara 1MDB ditangguh, Najib sakit lutut

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here