Chow Kon Yeow

PETALING JAYA – Bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming menggunakan gelaran “Charlie” untuk menggambarkan seorang pemimpin DAP yang mempunyai gaya kepimpinan yang agresif dan bercanggah dengan Ketua Menteri Pulau Pinang semasa, Chow Kon Yeow.

Kian Ming berkata, gaya pemimpin dengan gelaran Charlie itu sangat berkesan semasa memimpin satu negeri pada masa lalu, tetapi rentaknya berbeza dengan Kon Yeow.

“Cara Kon Yeow adalah lebih konservatif dan perlahan. Walaupun nampak kurang bertenaga, tetapi boleh dibawa berunding dan tidak menyebabkan kegelisahan kebanyakan orang,” katanya dalam rancangan podcast Are We Okay yang turut dipetik Sinchew Daily.

Kian Ming berkata, Kon Yeow dan Charlie mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing, tetapi Kon Yeow telah menerima restu untuk menjadi ketua menteri sehingga pilihan raya negeri akan datang.

“Walaupun anda tidak berpuas hati dengan gaya kepimpinannya, anda harus menyokongnya dan bukannya melemahkannya selagi anda berada dalam parti,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen DAP itu berkata, percanggahan yang wujud hanya akan menjejaskan operasi kerajaan negeri apabila Exco negeri keliru untuk menyokong ketua menteri atau Charlie yang berpengaruh dan menyuruh mereka jangan sokong Kon Yeow.

Kian Ming berkata, beliau pernah bekerjasama dengan Kon Yeow dan Guan Eng dan kedua-duanya ternyata mempunyai gaya kepimpinan berlainan.

“Namun sebagai ahli parti, kami harus menyokong barisan kepimpinan sedia ada,” katanya.

Menurutnya, walaupun Kon Yeow mempunyai rentak lebih perlahan, tetapi beliau melakukan kerja-kerja dengan teratur sehingga pelaburan meningkat dan projek-projek infrastruktur telah atau bakal dilaksanakan.

Ujarnya, konflik antara Kon Yeow dan Charlie adalah satu rahsia terbuka dan pengaruh kumpulan Charlie ternyata melemahkan kepimpinan Kon Yeow sejak Langkah Sheraton 2020.

“Semasa pilihan raya negeri lalu, satu pengaruh cuba menggantikan Kon Yeow tetapi tidak berjaya kerana tiada calon menonjol yang mampu mendapat sokongan padu pemimpin pusat dan negeri,” katanya.

Mengulas lanjut, Kian Ming berkata, beliau sendiri pernah menyinggung Charlie dalam ulasan yang dilontarkan dalam satu rancangan podcast sehingga ada yang mengadu kepada lembaga disiplin parti.

“Saya bagaimanapun tidak menerima surat kerana ada orang lain yang membela saya dan berpendapat saya tidak sepatutnya dihadapkan ke Lembaga Disiplin DAP.

“Namun, saya percaya ada punca lain. Bayangkan apakah reaksi ramai jika saya memilih umumkan dalam media sosial bahawa saya dihadapkan ke lembaga disiplin?”

Kian Ming berkata, beliau harus berhati-hati dalam percakapan kerana ahli parti yang rapat dengannya mungkin juga boleh menerima implikasi, termasuk semasa pemilihan parti. – MalaysiaGazette