Oleh Mogesh Sababathy
“ASAL hujan je, banjir”, antara rungutan rata-rata rakyat Malaysia sejak kebelakangan ini. Beberapa tahun lalu, jika ditanya kepada rakyat Malaysia tentang perubahan iklim, ramai yang mungkin akan sukar menjelaskan maksudnya. Bagi kebanyakan orang, ia adalah satu konsep yang terhad kepada buku teks sekolah, diajar secara teknikal dan agak jauh daripada kehidupan seharian, seolah-olah ia adalah satu masalah masa depan, sesuatu yang mungkin berlaku di tempat lain, tetapi bukan di Malaysia. Namun, hari ini, frasa “perubahan iklim” telah menjadi lebih dekat dan bermakna secara peribadi malah mendesak akibat rentetan peristiwa cuaca ekstrem yang baru-baru ini melanda, rakyat Malaysia kini mengalami sendiri apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan perubahan iklim.
Walaupun Malaysia sering berbangga sebagai salah satu negara yang menyumbang paling sedikit kepada pelepasan gas rumah hijau global, iaitu kurang daripada 0.7%, semakin jelas bahawa perubahan iklim bukan hanya mengenai pelepasan semata-mata. Ia melibatkan kesan yang kompleks dan saling berkaitan yang kini menjadi sebahagian daripada pengalaman hidup kita.
Daripada banjir kepada gelombang haba yang mencatatkan rekod, kesan-kesan ini sudah menjadi realiti harian rata-rata rakyat Malaysia. Ini menimbulkan persoalan, adakah kita benar-benar bersedia menghadapi masa depan yang sedang kita tuju? Lebih penting lagi, secukup mana adalah cukup untuk menjadi sebuah negara yang mengarus perdana tindakan iklim dan sejauh mana apa yang dilakukan sekarang boleh menjamin masa depan yang lebih selamat dan lestari sebelum ia di luar kawalan?
Baru-baru ini, sektor kewangan hijau mendapat perhatian dan ia mewakili cara untuk menyalurkan modal ke dalam projek-projek yang boleh membantu mengurangkan kerosakan alam sekitar dan membina daya tahan terhadap kesan iklim. Malaysia telah mengambil sebuah tindakan yang proaktif dalam bidang ini, terutamanya dengan dokumen Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip (Climate Change and Principle-based Taxonomy) yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia yang menyediakan rangka kerja untuk institusi kewangan menilai kegiatan ekonomi dan kesannya terhadap iklim dan persekitaran. Ini adalah satu langkah penting ke arah ketelusan dan akauntabiliti yang lebih besar dalam sektor kewangan.
Meskipun pelaburan hijau dan bon hijau semakin menarik perhatian pelabur institusi yang ingin menyelaraskan portfolio mereka dengan projek yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, minat yang semakin meningkat ini jauh melebihi bilangan projek yang memenuhi kriteria ketat untuk dianggap benar-benar “hijau.” Pembangunan projek hijau bukanlah satu perkara yang mudah, ia memerlukan pemahaman mendalam tentang impak alam sekitar dan kemampanan, serta pelaburan awal yang besar dalam penyelidikan, perancangan, dan pelaksanaan.
Projek-projek ini sering melibatkan teknologi canggih, proses pensijilan yang ketat, dan pematuhan kepada piawaian antarabangsa, yang memerlukan kepakaran khusus. Selain itu, kos awal yang tinggi untuk projek-projek ini boleh menjadi penghalang bagi pemaju, yang mungkin memilih alternatif yang lebih murah dan kurang mampan.
Cabaran ini dirumitkan lagi dengan fakta bahawa kewangan hijau masih merupakan konsep yang agak baru di banyak pasaran, termasuk Malaysia. Institusi kewangan dan pemaju projek mungkin kekurangan pengalaman atau insentif untuk melaksanakan projek hijau. Tanpa rangkaian projek yang layak, pasaran bon hijau boleh terhenti, menggagalkan matlamat kemampanan yang diharapkan. Untuk menjambatani jurang ini, dasar yang merangsang kemasukan kewangan hijau perlu diwujudkan.
Ini bermakna merangka insentif kewangan yang bukan sahaja menarik tetapi juga praktikal dan boleh diakses oleh pemaju. Kerajaan Malaysia boleh melaksanakan pelbagai alat fiskal yang boleh mengubah ekonomi ke arah kemampanan. Sebagai contoh, memperkenalkan insentif cukai untuk syarikat yang melabur dalam teknologi hijau boleh menjadikan inovasi ini lebih kompetitif dari segi ekonomi, menggalakkan penerimaan yang meluas.
Sehubungan dengan itu, konsep cukai karbon semakin mendapat perhatian di seluruh dunia dan ini adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan dengan serius oleh Malaysia. Ia boleh menjadi alat yang berkesan untuk mengurangkan pencemaran, menjadikannya lebih mahal untuk syarikat terlibat dalam aktiviti yang merosakkan alam sekitar, dengan hasil cukai ini boleh digunakan untuk membiayai projek-projek mitigasi iklim, meningkatkan peralihan kepada sumber tenaga yang lebih bersih, dan meningkatkan kesihatan awam melalui kualiti udara yang lebih baik.
Walaupun pelaksanaan cukai karbon mempunyai cabaran tersendiri, termasuk kesannya terhadap isi rumah berpendapatan rendah dan keperluan untuk mekanisme penguatkuasaan yang berkesan, ia mewakili pendekatan proaktif untuk mencapai sasaran neutral karbon Malaysia menjelang tahun 2050 dan meningkatkan daya saingnya dalam pasaran global untuk amalan mampan.
Golongan muda, lebih daripada generasi-generasi sebelumnya, semakin sedar akan krisis iklim dan mendesak agar institusi kewangan memberi keutamaan kepada planet daripada keuntungan jangka pendek. Ini amat penting memandangkan PKS, yang merangkumi lebih daripada 90% daripada keseluruhan penubuhan perniagaan di Malaysia pada tahun 2023, dengan lebih ramai golongan muda terlibat dalam perusahaan ini.
Komuniti terpinggir, mereka yang tinggal di kawasan mudah banjir, menderita paling banyak semasa gelombang haba, dan tidak mampu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan yang berubah. Bagi mereka, perubahan iklim adalah perjuangan harian. Alat seperti bon impak sosial boleh disesuaikan untuk memberi manfaat kepada komuniti ini, memastikan kewangan hijau sampai kepada mereka yang paling memerlukannya.
Dalam peralihan kepada ekonomi yang lebih hijau, prinsip “peralihan yang adil” sangat penting untuk memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan. Ini termasuk melabur dalam program latihan semula untuk pekerja dalam industri intensif karbon, menyokong PKS dalam mengamalkan amalan mampan, dan mewujudkan pekerjaan baru dalam ekonomi hijau. Pergerakan ESG kini semakin mendapat momentum dan Malaysia mula mengikuti jejak langkah ini. Institusi kewangan semakin memasukkan kriteria ESG ke dalam strategi pelaburan mereka, menyedari bahawa syarikat dengan amalan ESG yang kukuh sering mengatasi rakan sebaya mereka dalam jangka masa panjang.
Untuk ESG benar-benar mengubah sektor kewangan, institusi Malaysia perlu melangkah lebih jauh daripada pendekatan pengurusan risiko tradisional dan melihat ESG sebagai pemacu inovasi dan penciptaan nilai. Ini termasuk menerima model perniagaan baru yang memberi keutamaan kepada kemampanan, melabur dalam teknologi canggih untuk mengurangkan kesan alam sekitar, dan membangunkan produk dan perkhidmatan yang menangani cabaran unik yang dibawa oleh perubahan iklim. Sebagai contoh, menggunakan analitik data canggih dan AI dalam pelaporan ESG boleh meningkatkan ketelusan dan membantu pelabur membuat keputusan yang lebih bermaklumat.
Tidak kurang pentingnya adalah soal pengawalseliaan. Kerajaan Malaysia perlu mencipta persekitaran pengawalseliaan yang menggalakkan, bukan hanya mewajibkan penerimaan ESG. Ini termasuk memperkenalkan pendedahan ESG mandatori, menawarkan insentif kepada pelopor awal, dan membangunkan metrik piawai yang memastikan konsistensi dan kebolehbandingan di seluruh sektor. Dalam dunia di mana hijau palsu semakin menjadi kebimbangan sebenar, mempunyai piawaian yang jelas dan boleh dikuatkuasakan adalah penting.
Jadi, apa hala tuju kita selepas ini? Untuk memanfaatkan potensi kewangan hijau dan prinsip ESG, Malaysia perlu mengambil tindakan tegas, termasuk mengukuhkan rangka kerja dasar dengan memperluas skop kewangan hijau untuk meliputi lebih banyak sektor, menyediakan insentif fiskal seperti pengurangan cukai untuk pelaburan hijau, dan membangunkan sistem yang mantap untuk pengesahan projek. Kerjasama awam-swasta juga perlu diperkukuhkan, dan ia bermula dengan ketelusan. Mekanisme pemantauan dan pelaporan yang ketat perlu ada untuk menjejaki impak inisiatif kewangan hijau dan memastikan ia memenuhi janjinya.
Di samping semua ini, penting untuk kita melangkaui permainan salah menyalah. Terlalu kerap, beban untuk menangani isu alam sekitar diletakkan sepenuhnya di bahu pengguna individu. Walaupun tanggungjawab peribadi dan pilihan gaya hidup mampan adalah penting, sudah tiba masanya kita mengakui isu yang lebih besar di hadapan kita, iaitu industri dan perniagaan.
Entiti-entiti ini bertanggungjawab terhadap pelepasan, pencemaran, dan sisa dalam skala yang jauh lebih besar daripada apa yang boleh dilakukan oleh pengguna individu. Namun, mereka sering terlepas daripada pengawasan, sementara pengguna merasa bersalah atas pilihan mereka. Ketidakseimbangan ini bukan sahaja tidak adil tetapi juga tidak produktif.
Tambahan pula, acah hijau atau “greenwashing” semakin menjadi kebiasaan, dengan syarikat-syarikat dalam pelbagai sektor, baik di peringkat global mahupun di Malaysia, membuat tuntutan yang mengelirukan tentang usaha alam sekitar mereka. Walaupun kesedaran tentang isu ini semakin meningkat, terdapat kekurangan peraturan yang jelas untuk menanganinya.
Tanpa peraturan yang ketat dan akauntabiliti, industri akan terus melakukan amalan ini, meremehkan usaha sebenar untuk menangani perubahan iklim. Struktur pembiayaan semasa juga perlu diperiksa semula untuk memastikan pembiayaan yang adil tersedia di seluruh sektor dan wilayah, membolehkan setiap pihak berkepentingan untuk menyumbang secara efektif kepada peralihan hijau.
Oleh itu, cabaran sebenar adalah pada kesediaan kita untuk menghadapi kebenaran yang tidak selesa, memegang pemain industri bertanggungjawab, dan memastikan bahawa manfaat ekonomi hijau dikongsi oleh semua, terutama mereka yang paling terdedah kepada kesan iklim. Taruhannya tinggi, dan jalan ke hadapan menuntut pilihan yang berani yang akan menentukan bukan sahaja tempat kita di bumi ini, tetapi juga warisan yang kita tinggalkan untuk generasi akan datang.
Sempena emerdekaan negara Malaysia yang ke-67 ini, kita harus sedar bahawa Merdeka yang sebenar bukan hanya kebebasan politik, tetapi juga kebebasan daripada kehancuran alam yang kita warisi. Ini perjuangan zaman kini dan ini tanggungjawab kita bersama sebagai rakyat Malaysia.
Mogesh Sababathy
Ahli Panel Konsultasi Perubahan Iklim, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES)